• Lelaki Paling Dahaga Di Dunia

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+

    BIELEFELD, JERMAN: Seorang arkitek di sini mungkin lelaki paling dahaga di dunia kerana dia perlu meminum sekurangnya 20 liter air sehari jika tidak mahu berdepan risiko mati akibat kekurangan air dalam tubuh.

    Marc Wubbenhorst, 35, mengalami satu penyakit ganjil dikenali sebagai diabetes insipidus yang menyebabkan tubuhnya membuang banyak air sekali gus menyebabkan dia sentiasa dahaga.

    Penyakit itu menyebabkan badan Wubbenhorst tidak boleh menyimpan air dan buah pinggangnya membuang air sepantas dia meminumnya.

    Dalam tempoh 24 jam, Wubbenhorst membuang air kecil hampir 50 kali dan dia juga perlu meminum sekurangnya 20 liter air bagi menggantikan air yang keluar dari tubuhnya.

    Sekiranya Wubbenhorst tidak minum air, dia boleh mati akibat kekurangan air dalam tubuh dalam tempoh beberapa jam saja.

    Sekiranya Wubbenhorst tidak minum air selama sejam, dia mula mengalami simptom kekurangan air yang teruk seperti bibir merekah, pening dan keliru.

    Simptom ini biasanya dialami kebanyakan individu dewasa selepas dua atau tiga hari tidak meminum air.

    Wubbenhorst berkata, ketika kecil dia dapat mengawal keadaan itu, dia mempunyai ramai rakan dan cuba hidup seperti kanak-kanak normal lain.

    Bagaimanapun, apabila keadaannya bertambah teruk, dia mengalami tekanan perasaan dan hampir mengalami kemurungan yang serius.

    “Saya mengalami tekanan perasaan kerana terlalu letih dengan keadaan ini.

    “Saya tidak mahu pergi ke sekolah, melukis atau melihat perarakan,” katanya.

    Bagaimanapun, dia dapat mengatasi masalah itu dan kini menjalani kehidupan dengan sokongan keluarga serta rakan-rakannya.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki Paling Dahaga Di Dunia "