• Legasi Perang 6 Juta Periuk Api Di Kemboja

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Sudah 26 tahun Kemboja berhenti mengangkat senjata. Namun, logiknya, negara anggota ASEAN yang agak mundur itu sebenarnya masih terus berperang sehingga kini. Ini kerana negara itu “menanam” hampir enam juta periuk api di dalam perut buminya. Ia bukan sahaja tertanam begitu dalam, malah gagal dikesan di kebanyakan kawasan di seluruh Kemboja.

    Derita Kemboja dan legasi periuk api tidak terhenti di situ. Kemboja, antara negara bekas perang paling mencatat kematian atau kecacatan tertinggi kesan daripada periuk api.

    “Situasi itu menambah penderitaan rakyat Kemboja yang rata-ratanya hidup di bawah paras kemiskinan. Kebanyakan mangsa terbunuh apabila terpijak periuk api, namun mangsa terselamat mengalami kecacatan kekal terutama kudung.

    "Apabila kudung, mereka sukar untuk bergerak apalagi bekerja untuk menyara keluarga. Tidak terbatas di situ sahaja, jika bergantung kepada pertanian sebagai punca pendapatan, tetapi sawah mereka didapati tertanam periuk api, tanah menjadi kontang, sekali gus tidak boleh dikerjakan. Inilah perang yang lebih membawa maut berbanding perang konvensional,’’ kata Penasihat Undang-Undang Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Fiona Antonnette Barnaby kepada Astro Awani semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

    Kata Fiona, periuk api mula ditempatkan di seluruh Kemboja sejak perang saudara pada lewat 1960-an dan awal 1970-an. Kini walaupun perang sudah tiada lagi, kerajaannya kekal bergelut untuk menghapus dan membersihkan pelbagai jenis senjata tidak meletup di buminya, tanpa terkecuali periuk api.

    Menurut laporan, ratusan ribu periuk api ditanam di seluruh Kemboja ketika tentera Vietnam menjajah negara itu pada 1980-an.

    Tentera Kemboja sendiri dikatakan menambah jumlah periuk api berkenaan ketika kejatuhan kerajaan komunis pada 1990-an.

    “Soal periuk api yang tertanam itu satu hal, tetapi masalah yang lain pula ialah mahu membersihkan senjata itu. Dengan keadaan di mana tidak banyak teknologi direka untuk hapuskan periuk api secara pintar, usaha ini memakan masa yang lama untuk selesai.

    "Seperkara lagi, kesan yang ditinggalkan akibat perangi senjata ini adalah kekal. Sebagai contoh, kudung kaki dan trauma, itu sukar diatasi,’’ kata Fiona sambil merujuk kepada peranan ICRC yang terbatas membantu atasi hambatan psikologi mangsa-mangsa periuk api.

    Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan, Kemboja merupakan negara paling banyak orang kudung per kapita di dunia.

    Manakala data oleh Pusat Tindakan Periuk Api Kemboja (CMAC), sebuah badan yang diberi tanggungjawab untuk membersihkan sejumlah besar periuk api di Kemboja pula menganggarkan terdapat 1,249 korban baharu dicatatkan pada 1998. Matematiknya, untuk angka itu, hampir 40 orang terkorban setiap minggu untuk sepanjang tempoh 20 tahun.

    Daripada jumlah 1,249 orang itu berdasarkan data CMAC, 80 peratus mangsa yang terpijak periuk api ialah lelaki.

    Statistik turut mendedahkan bahawa, seramai 6,000 kanak-kanak lelaki cedera atau maut, manakala 4,750 wanita dan 1,367 kanak-kanak perempuan turut menjadi mangsa.

    Begitu ramai yang maut kerana periuk api, tetapi ramai juga yang terselamat tetapi kudung kakinya atau anggota badan lain. Ini bermakna ada pihak perlu membantu mereka menangani kesan daripada “parut” tinggalan periuk api.

    “Itu sebabnya, ICRC turut bekerjasama dengan Palang Merah Kemboja untuk menyediakan bantuan sewajarnya kepada ribuan mangsa periuk api yang terselamat. Antara bentuk bantuan ialah tidak membiarkan mereka sendirian tetapi membimbing daripada aspek penjagaan hospital dan kecemasan.

    "Bantuan lain termasuk pemulihan semula fizikal dan langkah pencegahan seperti membantu memberikan akses makanan selamat, air dan keperluan hidup lain,’’ ujar Fiona.

    Mengetahui lebih dalam bahaya periuk api dan menyelami derita mangsa periuk api antara agenda lawatan media terpilih ke Phnom Penh dan Siem Reap selama empat hari sehingga 14 Disember.

    Pada akhirnya, laporan disiarkan diharap boleh memberi kesedaran tentang keperluan untuk terus membantu menaikkan semangat mangsa-mangsa terselamat “perang berpanjangan” ini sekali gus menjadi manusiawi terhadap orang-orang seperti mereka.

    Angka oleh PBB meletakkan bahawa berdasarkan kemajuan sekarang dalam menghapuskan periuk api, sekurang-kurangnya 100 tahun diperlukan untuk memberishkan kesemua periuk api yang ada di Kemboja. Sungguh sukar, tetapi tidak mustahil juga.

    Jika angka mereka yang menjadi mangsa periuk api boleh dikurangkan tahun demi tahun, bukan salah juga kalau mengharapkan legasi perang ini segera berakhir, setidak-tidaknya, kurang daripada 100 tahun seperti jangkaan badan dunia seperti PBB. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Legasi Perang 6 Juta Periuk Api Di Kemboja "