• Lebih ramai ditahan tahun depan, SPRM

    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+

    SERAMAI 65 individu ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang tahun ini dan 30 individu didakwa atas kesalahan rasuah.

    Angka itu menunjukkan peningkatan 30 peratus kerana secara purata hanya sekitar 20 individu ditahan setahun berhubung kes rasuah.

    Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Abdul Aziz Aban berkata, kesedaran masyarakat terhadap jenayah rasuah dan menyalurkan maklumat kepada pihaknya turut membantu kepada peningkatan jumlah tangkapan.

    "Kami menjangkakan lebih ramai ditahan tahun depan berhubung kes rasuah disebabkan orang awam mula menyalurkan maklumat kepada SPRM," katanya selepas majlis bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pulau Pinang di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas, hari ini.

    Abdul Aziz berkata, pihaknya mengalu-alukan penjawat awam untuk menyalurkan maklumat mengenai rasuah dan mereka akan diberikan ganjaran atas maklumat berkenaan.

    Katanya, jumlah ganjaran bergantung pada jumlah rasuah dan maklumat mengenai pemberi maklumat akan dirahsiakan.

    Sementara itu, Abdul Aziz berkata, tiada tangkapan terbaru membabitkan isu rasuah Zakat Pulau Pinang (ZPP) selain Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan dua pegawainya yang dituduh sebelum ini.

    Katanya, CEO terbabit berusia 50 tahun berdepan empat pertuduhan dan pihaknya sedang menunggu arahan Timbalan Pendakwaraya jika ada pertuduhan baru dikeluarkan.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Lebih ramai ditahan tahun depan, SPRM "