• Layan Anak Seperti Kawan

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Saturday, 9 December 2017
    A- A+

    KUCHING: Ibu bapa sepatutnya melayan anak seperti 'kawan' terutama ketika zaman remaja untuk mengetahui tentang perkembangan mereka.

    Menteri Muda Utiliti, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, tempoh remaja anak amatlah penting kerana membentuk sikap mereka pada masa depan.

    "Pandangan mereka berbeza selepas berkhatan maka bermulalah alam remaja mereka dan sekiranya kita anggapnya sebagai "kawan", komunikasi serta hubungan kita akan bertambah erat," katanya berucap semasa 'Program Bersunat Berami-rami 2017' di Klinik Kesihatan Petra Jaya di sini, hari ini.


    Menurutnya, setiap anak akan mengalami perubahan ketara ketika alam remaja kerana pembesaran fizikal mereka semakin cepat.

    Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai memuji Kelab Sukan & Rekreasi Jabatan Agama Islam Sarawak (KESUJA), Jabatan Kesihatan Sarawak dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) yang menganjurkan program tersebut.

    Dr Abdul Rahman menambah, program seperti itu memberi manfaat kepada anak muda terutama dalam melaksanakan kewajipan mengkhatankan kanak-kanak sebelum menempuhi alam remaja.

    Beliau mencadangkan supaya program tersebut dijadikan sebagai acara tahunan.

    "InsyaAllah, saya akan menyokong dan menyediakan dana khas untuk berkhatan sepertiini," ujarnya.

    Program tersebut disertai oleh 120 peserta dengan dibantu 20 doktor dan 30 pembantu perubatan.

    Hadir sama Pengerusi KESUJA Ustaz Mohd Isselahuddin Kameri, Ketua Jabatan Pembedahan Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Haji Nik Azim Nik Abdullah dan Wakil Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya Wan Umar Wan Alek.-Sarawakiana
  • No Comment to " Layan Anak Seperti Kawan "