• Lapor Penyakit Berkaitan Pekerjaan

    Published: Tuesday, 19 December 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Majikan perlu mengambil kira kepentingan melapor dan mengendalikan kes penyakit berkaitan pekerjaan dalam organisasi masing-masing.

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad, berkata risiko penyakit dan keracunan boleh memberi kesan terhadap keselamatan di tempat kerja, malah membawa kepada kehilangan nyawa.

    Katanya, majikan termasuk pegawai perubatan dan keselamatan bertanggungjawab menggunakan peruntukan perundangan bagi perkara berkaitan kesihatan pekerjaan.

    "Antara faktor yang menyumbang kepada kurangnya bilangan laporan penyakit dan keracunan pekerjaan di negara ini ialah tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan majikan serta pegawai perubatan.

    "Kesan kesihatan pekerjaan terhadap pekerja amat merugikan kerana sejumlah wang terpaksa dikeluarkan bagi menanggung kos rawatan dan bayaran pampasan.

    "Kebiasaannya nilai dikeluarkan jauh lebih tinggi daripada kos mengambil langkah pencegahan awal.

    "Sehubungan itu, kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja perlu dipandang serius, manakala langkah pencegahan dapat dikenal pasti jika majikan mengamalkan amalan terbaik dalam sistem peraturan perundangan sewajarnya," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Tempat Kerja di Open University Malaysia (OUM), dekat sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Pengarah OUM Pontian, Mohd Lokman Abdullah.

    Seminar membabitkan penyertaan 150 orang itu bertujuan memastikan majikan dan kakitangan dapat bekerja dalam persekitaran yang selamat, sihat, kondusif serta produktif, seterusnya melindungi modal insan negara.

    Normala berkata, kombinasi antara majikan prihatin dan pekerja berkualiti selain sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan (OSH) baik, akan menjamin produk serta perkhidmatan organisasi mencapai piawaian dikehendaki. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Lapor Penyakit Berkaitan Pekerjaan "