• Kuota Senator Wanita Akan Ditambah - Najib

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan bilangan senator wanita di Dewan Negara akan ditambah seiring dengan hasrat kerajaan meningkatkan penyertaan golongan itu dalam politik.

    Perdana Menteri berkata, keberadaan golongan wanita dalam bidang politik negara akan memberi gambaran lebih baik kepada sistem pilihan raya dan menjadikan proses politik lebih inklusif, sekali gus mengukuhkan demokrasi.

    Bagaimanapun katanya, harapan itu mampu menjadi kenyataan jika kerajaan Barisan Nasional (BN) memperoleh keputusan majoriti dan mandat yang kuat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    "Kita boleh cadang menambah kuota di Dewan Negara, iaitu kita perlu ada sekurang-kurangnya 30 peratus senator wanita. Saya berasa amat gembira jika hasrat ini dapat dijayakan.

    "Itulah sebabnya saya berharap kita mendapat mandat yang kuat dalam pilihan raya akan datang.

    "Kita boleh mulakan lebih ramai wanita dilantik sebagai senator dan mereka akan menunjukkan kemahiran kepemimpinan di Dewan Negara," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 Wanita Dalam Politik (WIPKL 2017) bertema Wanita & Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), Kepemimpinan dan Kesaksamaan Hakiki di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

    Persidangan dua hari bermula semalam disertai pemimpin dan tokoh wanita dari 14 negara diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang berlangsung esok sehingga Sabtu ini.

    Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi WIPKL 2017 merangkap Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

    Najib turut berharap lebih ramai usahawan wanita daripada semua peringkat generasi wujud bagi memenuhi wawasan kerajaan dalam IR4.0.

    Perdana Menteri berkata, kerajaan amat menggalakkan penyertaan wanita dalam IR4.0 kerana bidang teknologi tinggi hari ini turut mampu dipenuhi golongan itu.

    "Saya mahu melihat lebih ramai mereka mencontohi usahawan wanita yang sudah berjaya sebelum ini. Saya percaya ramai usahawan wanita termasuk dalam kelompok 10,000 usahawan pertama yang mendaftar di platform E-dagang Alibaba," katanya.- Berita Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Kuota Senator Wanita Akan Ditambah - Najib "