• KPWKM Seru Orang Ramai Salur Maklumat Kanak-Kanak Bermasalah

    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+

    Dalam memastikan tiada kanak-kanak terjebak dalam kancah gejala negatif, pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap agar perkara ini harus diberi perhatian dan diatasi segera sebelum menjadi lebih serius.

    Oleh yang demikian, Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyeru supaya orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kanak-kanak yang mempunyai masalah sosial kepada pihak yang bertanggungjawab, seterusnya memain peranan dalam usaha membendung kanak-kanak tersebut dari terjerumus dalam masalah itu.

    Memetik laporan akhbar Utusan Borneo, beliau berkata diantara faktor penyebab ada dikalangan kanak-kanak terlibat masalah sosial adalah disebabkan keadaan persekitaran.

    “Tidak dinafikan bahawa keadaan persekitaran rumah yang sempit, daif serta pengaruh rakan merupakan antara faktor-faktor penyumbang kepada gejala sosial dalam kalangan remaja atau kanak-kanak,” katanya.

    Jelas Rohani, tidak semua anak-anak daripada keluarga miskin terjebak namun begitu perkara ini haruslah diberi perhatian khusus sebelum menjadi lebih serius.

    Mengulas lanjut, Rohani berkata usaha yang dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui beberapa pendekatan dalam membantu golongan yang memerlukan adalah bagi memastikan tidak ada golongan tertinggal daripada arus kemajuan negara.

    Tambah beliau antara usaha yang dilaksanakan JKM ialah penubuhan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak dan sukarelawan JKM, selain menyediakan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) di setiap daerah terutama di kawasan yang berisiko sebagai kemudahan golongan itu berkumpul serta melakukan aktiviti anjuran PAKK.

    Dalam pada itu, JKM turut menyediakan bantuan dan geran bagi membantu keluarga yang memerlukan agar dapat mengurangkan beban kewangan mereka seterusnya membantu mereka membina kehidupan yang lebih baik.- Sarawakiana
  • No Comment to " KPWKM Seru Orang Ramai Salur Maklumat Kanak-Kanak Bermasalah "