• KPDNKK Tunggu Laporan Kimia Kes Rampas Susu

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+
    JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan bertindak kes susu yang dipercayai tiruan selepas mendapat laporan Jabatan Kimia.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Johor, Aris Mamat, berkata laporan ujian daripada jabatan itu akan diperoleh dalam tempoh dua minggu.

    "Susu yang kami rampas itu hanya disyaki dan belum disahkan lagi melalui laporan kimia bahawa ia berbeza daripada kandungan susu yang asal. Tindakan seterusnya akan diambil bergantung kepada hasil laporan kimia," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

    Beliau berkata, setakat ini pihaknya juga tidak menerima aduan orang awam dan pengeluar produk terbabit bagi penjualan susu rumusan bayi yang disyaki tiruan.

    Kelmarin, KPDNKK merampas 210 kotak susu rumusan bayi disyaki tiruan bernilai RM42,000 susulan aduan mengenai seorang bayi muntah teruk selepas menggunakan produk itu.

    Rampasan itu hasil hasil pemeriksaan di lima kedai ubat-ubatan dan serbaneka di sekitar Iskandar Puteri dan Skudai, dekat sini kira-kira jam 12 tengah hari pada Khamis lalu.

    Pengarah KPDNKK Johor, Khairul Anwar Bachok dilaporkan berkata tindakan itu hasil pemantauan dan risikan selama kira-kira empat bulan oleh pihak pengadu yang juga pengeluar produk terbabit.

    Katanya, langkah itu dibuat selepas pengadu menerima aduan berkaitan seorang bayi mengalami muntah yang teruk selepas menggunakan susu terbabit yang kemudian disahkan tiruan oleh pihak pengeluar.

    Hasil pemeriksaan katanya mendapati pemilik premis yang berusia lingkungan 50-an itu menggunakan helah dengan mencampurkan kotak susu yang disyaki tiruan dengan kotak yang asli di rak jualan.

    Khairul Anwar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " KPDNKK Tunggu Laporan Kimia Kes Rampas Susu "