• Kos Amah Cuma RM1,635 – TPM

    Reporter: M. H. W.
    Published: Saturday, 16 December 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA - Mekanisme pengambilan pembantu rumah warga asing secara dalam talian yang akan mula dilaksanakan pada 1 Januari tahun depan bakal memberi penjimatan kos sehingga 90 peratus kepada majikan.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mekanisme berkenaan mem­­bolehkan bakal majikan iaitu ketua isi rumah untuk mengambil secara terus pembantu rumah asing dari negara-negara sumber tanpa memerlukan penglibatan ejen.

    Menurut beliau, jika se­belum ini majikan per­lu membayar sehingga RM18,000, tetapi kini mereka hanya membayar RM1,635 kepada kerajaan melalui Jabatan Imigresen.

    “Jumlah itu adalah kos bagi pengambilan pembantu rumah dan tidak termasuk kos penerbangan dan pasport. Kerajaan mengambil langkah pengurangan termasuk mengurangkan kadar wang cagaran daripada RM1,000 kepada RM500 dan wang proses daripada RM500 kepada RM250.

    “Ini bererti kerajaan mengambil langkah proaktif agar sebarang pembayaran pengambilan terus pembantu rumah asing dapat di­­kurangkan,” katanya selepas mem­­pengerusikan Mesyuarat Ja­watankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

    Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, mekanisme pengambilan pembantu rumah asing secara terus dari negara-negara sumber bagaimanapun tidak terpakai kepada Indonesia dan Filipina yang perlu melalui syarikat-syarikat berdaftar dengan kementerian berkaitan di negara berkenaan.

    “Kita mematuhi peraturan perundangan negara itu yang mana kita harap ketua keluarga yang memohon sebagai majikan akan memohon melalui syarikat di negara berkenaan atau boleh mendapatkan nama-nama atau bakal pembantu rumah un­tuk dikemukakan permohonannya secara dalam talian,” katanya.

    Dalam pada itu, ketika ditanya pemberita mengenai sa­ringan kesihatan tam­bahan yang perlu dijalani pekerja asing mulai 1 Januari tahun hadapan, Ahmad Zahid berkata, perkara tersebut bertujuan memberi pengesahan terhadap pe­meriksaan kesihatan yang telah dijalankan di negara sumber dan memantau berterusan tahap kesihatan pekerja asing.

    “Saringan kesihatan ini akan dilaksanakan sebelum pekerja asing berlepas dari negara asal, sebulan selepas ketibaan di Malaysia, pada akhir tahun pertama, pada akhir tahun kedua dan selang setiap dua tahun selagi pekerja asing tersebut digajikan di Malaysia,” katanya.

    Sementara itu beliau memberi­tahu, dalam tempoh dari 1 Januari sehingga 5 Disember lalu, sebanyak 15,005 operasi penguatkuasaan telah dijalankan Jabatan Imigresen dan dalam tempoh sama seramai 202,115 PATI telah me­nyerah diri dan pulang ke negara asal secara sukarela.

    Jelasnya, bilangan pekerja asin­g yang sah di negara ini telah berkurangan kepada 1.785 juta orang setakat 30 November lalu berbanding seramai 2.135 juta orang pada 2015.-UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Kos Amah Cuma RM1,635 – TPM "