• Koperal Ditahan Kes Rasuah Guru Agama

    Published: Thursday, 7 December 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Koperal malam tadi, selepas disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM3,000 daripada guru agama.

    Lelaki berusia 49 tahun itu ditahan, jam 9.30 malam di pusat membaiki dan servis kereta di Kulai, dekat sini.

    Suspek bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kontinjen Johor, ditahan selepas disyaki meminta rasuah pada 3 Disember lalu dan menerima RM3,000 daripada pengadu semalam.

    Perbuatan itu dipercayai bertujuan menyelesaikan siasatan berhubung kes dadah oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD itu yang membabitkan pengadu.

    Susulan itu, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi dan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

    Pasukan penyiasat menggeledah dua lokasi berbeza di Johor dan menyita akaun bank serta beberapa dokumen berkaitan kes.

    Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

    Beliau berkata, suspek akan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Koperal Ditahan Kes Rasuah Guru Agama "