• Kontraktor, Pemaju Perlu Utama Keselamatan Di Tapak Pembinaan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+

    KUCHING: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menggesa setiap pemaju dan kontraktor supaya melaksanakan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang terbaik di tapak pembinaan serta kawasan kerja bagi mengelakkan kemalangan yang melibatkan pekerja ataupun orang awam.

    Gesaan itu dibuat NIOSH ekoran insiden motosikal terjunam ke dalam lubang sistem saliran diselenggara di Padang Merdeka pagi tadi yang meragut nyawa seorang lelaki.

    Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pemaju dan kontraktor juga perlu mengguna pakai konsep pengenalpastian bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC) yang dapat membantu pekerja dan penyelia mereka untuk mengenal pasti bahaya dan risiko dan mencari cara untuk mengelakkannya.

    Menurutnya, setiap kontraktor terbabit perlu meletakkan papan tanda amaran yang jelas di lokasi strategik manakala penghadang yang sesuai perlu diletakkan bagi mengelakkan kenderaan memasuki kawasan berisiko tinggi.

    “Penghadang konkrit perlu dipasang di kawasan kerja terbabit jika projek berkaitan memerlukan masa yang agak lama untuk diselesaikan.

    “Pihak berkuasa terbabit pula perlu melaksanakan audit keselamatan bagi memastikan kawasan kerja atau tapak pembinaan tersebut tidak mendatangkan bahaya kepada pekerja dan orang ramai,” katanya.

    Oleh yang demikian, Lee berkata walaupun pihak kerajaan menguatkuasakan undang-undang, tanggungjawab untuk melaksanakan sistem keselamatan di tapak pembinaan sebenarnya terletak di bahu kontraktor dan subkontraktor.-Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Kontraktor, Pemaju Perlu Utama Keselamatan Di Tapak Pembinaan "