• Komplot Seludup Rokok Gagal

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas 4.3 juta rokok putih dengan nilai cukai RM3 juta selepas pemeriksaan dilakukan ke atas kontena dari Vietnam yang diisytiharkan mengandungi pencuci kuku dan cecair pembersih, 4 Disember lalu.

    Ketua Pengarah JKDM Datuk T Subromaniam berkata, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sarawak menerima maklumat mengenai kontena terbabit yang tiba di Pelabuhan Senari, Kuching.

    Menurutnya, menerusi Sistem Maklumat Kastam, ejen penghantaran didapati membuat pengisytiharan palsu selepas pemeriksaan mendapati rokok putih di dalam kontena berkenaan.

    "Menyedari taktik membuat pengisytiharan palsu dikesan pihak berkuasa, ejen berkenaan kemudian membuat helah kononnya kontena itu hanya transit di Kuching sebelum dihantar ke Indonesia.

    "Bagaimanapun taktik itu tidak dapat mengaburi mata pihak berkuasa dan kontena berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut atas kesalahan membuat pengisytiharan palsu untuk mengelak daripada membayar duti import," katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM Sarawak, Petra Jaya, hari ini.

    Dalam sidang media sama, Subromaniam mendedahkan 12 syarikat yang menyediakan perkhidmatan sebagai ejen penghantaran barang import ke negara ini bakal digantung dan dibatalkan lesen atas pelbagai kesalahan.

    Beliau berkata, ejen berkenaan dikesan melakukan kesalahan mengikut Akta Kastam kerana kebanyakan mereka melakukan penyeludupan dengan membuat pengisytiharan palsu ke atas kontena yang dibawa masuk ke negara ini.

    "Rokok dan minuman keras sering diisytihar sebagai barangan lain bagi mengelak syarikat pengimport membayar duti import yang tinggi kepada kerajaan manakala ejen ditugaskan untuk membuat pengisytiharan palsu kepada pihak berkuasa.

    "Komisyen yang tinggi menyebabkan mereka sanggup melakukan kesalahan berkenaan namun dengan wujudnya Sistem Demerit sejak April lalu membolehkan mana-mana ejen yang melebihi 40 mata bakal digantung dan dibatalkan lesen," katanya.-myMetro
  • No Comment to " Komplot Seludup Rokok Gagal "