• Komander Paliyak dikehendaki polis - KPN

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Individu yang ditembak mati pasukan keselamatan di perairan laut Silam, Lahad Datu, Sabah semalam adalah anggota kumpulan pengganas yang berada dalam senarai pemerhatian polis.

    Suspek dikenali Abu Paliyak atau Komander Paliyak berbangsa Suluk juga dipercayai ahli kumpulan Abu Sayyaf (ASG).

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata lelaki itu antara individu dikehendaki polis selepas terbabit dalam kejadian penculikan di sekitar Sabah sejak tiga tahun lalu.

    "Selain suspek, terdapat empat hingga lima individu dalam kumpulan sama yang sudah dihapuskan pihak berkuasa Filipina.

    "Polis kini sedang memantau beberapa individu yang turut berada dalam senarai pemerhatian," katanya.

    Mohamad Fuzi berkata, walaupun beberapa suspek sudah dihapuskan, operasi memburu kumpulan penculik untuk wang tebusan masih diteruskan.

    Semalam, seorang lelaki disyaki terbabit dalam kes culik untuk tebusan ditembak mati pasukan keselamatan di kawasan perairan berhampiran Pulau Kalungan, Lahad Datu.

    Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, suspek berusia 30-an disyaki warga Filipina maut di lokasi kejadian akibat parah selepas terkena tembakan di bahagian tubuh.

    Pasukan keselamatan turut menemui senapang patah dan beberapa peluru.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Komander Paliyak dikehendaki polis - KPN "