• Kolaborasi Hasilkan Vaksin Halal Kurangkan Golongan Anti-Vaksin

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR : Kolaborasi antara PharmaniagaBerhad, Technology Despository Agency dan Hilleman Laboratories untuk menghasilkan vaksin halal dijangka akan mengurangkan bilangan golongan yang menolak vaksin di negara ini.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata keraguan status halal vaksin adalah antara faktor yang mendorong sesetengah pihak untuk menolak vaksinasi.

    "Dengan adanya vaksin halal ini, kita jangka bilangan yang menolak vaksin akan berkurang," katanya kepada media selepas majlis menandatangani memorandum kerjasama antara tiga syarikat itu di sini hari ini.

    Untuk memastikan status halal vaksin itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memainkan peranan untuk memastikan apa yang dihasilkan mematuhi garis panduan halal yang ditetapkan.

    Vaksin yang akan dihasilkan di bawah kolaborasi ini akan dipasarkan seawal tahun 2020 dan selewat-lewatnya 2022.

    "Vaksin ini perlu dijalankan uji kaji dan setakat ini, lebih 95 peratus rakyat Malaysia telah menerima vaksin lengkap di bawah program yang dijalankan Kementerian Kesihatan," katanya.

    Sementara itu, Dr Subramaniam yang juga merupakan Presiden MIC menyatakan kesediaan untuk berunding dengan mana-mana pihak bagi memperkukuhkan sokongan masyarakat India kepada Barisan Nasional menjelang Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14).

    "Kami mengalu-alukan pelawaan parti mesra Barisan Nasional (BN), Makkal Sakti untuk membantu BN memenangi PRU14 dengan majoriti yang lebih besar," katanya.

    Ahad lepas, Presiden Parti Makkal Sakti Datuk Seri R.S. Thanenthiran berkata pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-9 parti itu bahawa beliau yakin sokongan masyarakat India terhadap BN telah meningkat dan partinya akan membantu mana-mana pihak untuk menjamin kemenangan buat BN dalam PRU14 akan datang. — Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Kolaborasi Hasilkan Vaksin Halal Kurangkan Golongan Anti-Vaksin "