• KKLW gesa segerakan permohonan keperluan asas luar bandar

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+


    Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menggesa agar semua pemimpin di kawasan luar bandar menyegerakan permohonan mendapatkan keperluan asas termasuk kemudahan bekalan elektrik demi kepentingan masyarakat setempat.

    Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, para pemimpin masyarakat berkenaan perlu menyenaraikan segala keperluan untuk dikemukakan kepada kementerian berkenaan pertengahan Januari ini bagi memudahkan proses menyediakan kemudahan kepada rakyat kawasan luar bandar.

    Menurutnya, permohonan itu juga merangkumi keperluan penduduk pedalaman menikmati bantuan di bawah projek amenity sosial yang antara lain untuk membantu membaiki surau atau masjid selain membaik pulih pagar kubur.

    “Kita harap para pemimpin di kawasan luar bandar dapat segera menyenaraikan permohonan keperluan asas termasuk bekalan lampu jalan di kawasan masing-masing,” katanya.

    Beliau menyatakan perkara itu kepada media selepas majlis perasmian Pemasangan Projek Lampu Jalan Kampung (LJK) Negeri Terengganu 2017 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Kampung Kesom, Manir malam tadi.

    Yang turut hadir, sebahagian Exco Kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, para pembesar dan kenamaan negeri serta Pengurus Besar Kanan (Perkhidmatan Pelanggan) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir. Kamaliah Abdul Kadir.

    Ismail Sabri menarik perhatian, setakat ini kementeriannya telah membelanjakan RM245 juta bagi menyediakan 317,000 unit LJK di seluruh negara dan kesemua bil elektrik kemudahan asas itu ditangung oleh kerajaan, bukannya pemimpin masyarakat termasuk Jawatanluasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terlibat.

    Menurutnya, untuk tahun lalu sahaja, kementerian berkenaan menanggung kos bil elektrik bagi projek LJK di seluruh negara berjumlah RM70 juta.-BNBBC

    Subjects:

  • No Comment to " KKLW gesa segerakan permohonan keperluan asas luar bandar "