• Kilang Apple Paksa Pelajar Praktikal Kerja 11 Jam Sehari Pasang iPhone X

    Published: Friday, 8 December 2017
    A- A+

    Dengan kakitangan sehingga 300,000 orang pekerja, kilang Foxconn Technology Group di Zhengzhou, China adalah kilang pemasangan telefon pintar yang terbesar di dunia.

    Foxconn adalah kontraktor diupah syarikat Apple bagi mengeluarkan model iPhone termasuk model terbarunya iPhone X - menghasilkan satu daripada setiap dua iPhone X yang terdapat di pasaran.

    Memetik laporan Financial Times (FT), kilang yang dibuka pada 2010 mengupah kira-kira 3,000 pelajar sekolah vokasional untuk melakukan latihan industri (praktikal) di kilang berkenaan bagi menghasilkan model telefon pintar Iphone X yang kini mendapat permintaan tinggi.

    FT menjelaskan, kesemua pelajar berkenaan dipaksa untuk bekerja 11 jam sehari memasang unit telefon pintar Iphone X yang jelas pelanggaran undang-undang buruh di China.

    Lapor media berkenaan, Foxconn secara haram menggunakan pelatih industri bekerja lebih masa iaitu bekerja lebih 40 jam seminggu dengan bayaran tidak setimpal.

    "Semasa melakukan audit baru-baru ini, kami menemui pelajar latihan industri bekerja lebih masa di kilang pembekal di China," lapor FT.

    Apple dalam kenyataan balas kepada FT mengesahkan perkara berkenaan berlaku namun tidak memberi bayaran setimpal.

    "Kami mengesahkan pelajar bekerja (lebih masa) secara sukarela, diberi pampasan dan diberikan faedah, namun mereka tidak sepatutnya dibenarkan bekerja lebih masa," kata Apple.

    Penyelidik dan aktivis hak pekerja di Hong Kong, Keegan Elmer berkata, amalan mengambil pelajar praktikal bekerja adalah biasa di Foxconn.

    "Amat menakjubkan bagaimana Foxconn menggunakan kuasa ekonominya menekan kerajaan tempatan, memastikan ia mempunyai bekalan tenaga kerja yang murah dan baik, seperti (pelajar) praktikal," kata Elmer.

    Kilang Apple di Zhengzhou digelarkan sebagai 'iPhone City' turut menarik ramai pekerja muda dari pekan-pekan berdekatan dan penduduk dari kampung pedalaman.

    Media negara republik berkenaan, South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Foxconn mempunyai kira-kira sejuta kakitangan di seluruh China telah dituduh mencabuli hak pekerja sebelum ini.

    Kerusingan Foxconn ditambah lagi dengan beberapa siri pekerja bunuh diri di kilang yang terletak di Shenzen, selatan tanah air dan kemalangan maut tahun berikutnya di fasiliti di Chengdu, barat China.

    Selepas pendedahan olef FT, Foxconn mendakwa syarikat kini akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan tiada lagi pekerja praktikal bekerja lebih masa.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " Kilang Apple Paksa Pelajar Praktikal Kerja 11 Jam Sehari Pasang iPhone X "