• Ketatkan kawalan di KLIA

    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+
    DUA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan bagi membantu siasatan kes penyeludupan warga Bangladesh.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengesahkan perkara itu berkata, individu berkenaan bukan pegawai kanan di jabatan berkenaan.

    Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dalam kes berkenaan termasuk mengenal pasti individu lain terbabit dalam kes itu.

    "Saya juga sudah arahkan Ketua Pengarah Imigresen (Datuk Seri Mustafar Ali) untuk ketatkan kawalan di setiap 'checkpoint' terutama di KLIA," katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Ibu Pejabat Batalion 17 Pasukan Gerakan Am, Lahad Datu, hari ini.

    Hadir sama, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Komander ESSCOM Datuk Hazani Ghazali, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din dan Ketua Pengarah RELA Zulkifli Abidin.
    ADVERTISING

    Laporan ekslusif Harian Metro sejak 7 Disember lalu mendedahkan sindiket dikuasai warga Bangladesh memperoleh RM5.2 juta setahun, hasil daripada aktiviti menyeludup rakan senegara melalui KLIA.

    Sindiket terbabit dikatakan mengenakan bayaran antara RM15,000 hingga RM20,000 setiap seorang termasuk wang 'pelincir' kepada beberapa pihak berkuasa terutama anggota dan pegawai JIM serta pegawai Kedutaan Malaysia di Dhaka.

    Op Pintas KLIA yang dilancarkan oleh Bahagian Anti Pemerdagangan dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) D7C Bukit Aman selepas risikan selama hampir tujuh bulan dilakukan bersama Skuad Khas HM.

    Hasilnya, 11 ahli sindiket berkenaan terdiri daripada empat 'penerima' dan tujuh penjaga ditahan bersama 33 warga Bangladesh yang berjaya lolos menerusi KLIA.

    Harian Metro hari ini yang memetik sumber berkata, dua pegawai JIM yang juga petugas kaunter jabatan itu di KLIA ditahan, manakala 17 lagi pegawai direkod keterangan. -HMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Ketatkan kawalan di KLIA "