• Keselamatan pantai timur Sabah terkawal

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+


    SANDAKAN: Keadaan keselamatan di pantai timur Sabah terkawal walaupun masih wujud cubaan kumpulan penjenayah rentas sempadan yang menjalankan kegiatan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan (KFR) masuk ke Sabah bagi melakukan penculikan.

    Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, berkata kerjasama di antara Malaysia dan Filipina menerusi rondaan bersama sempadan perairan serta perkongsian maklumat risikan memudahkan usaha mengekang kemasukan KFR.

    Selain itu, katanya, operasi dan pemantauan berterusan dengan kerjasama semua agensi keselamatan membantu memperkukuhkan keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

    "Keadaan di timur Sabah terkawal dan kita sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk memastikan semua aspek dilindungi dan keselamatan sentiasa berada pada tahap tertinggi.

    "Cubaan (kumpulan KFR) masuk ke Sabah memang ada, namun kita sentiasa berwaspada (terhadap kemasukan baharu kumpulan KFR) dengan kerjasama semua agensi keselamatan dan pihak berkuasa Filipina," katanya ketika dihubungi BH di sini, sebentar tadi.

    Dalam kejadian awal pagi semalam, seorang lelaki, Abu Paliyak, 31, ditembak mati oleh pasukan keselamatan di perairan Silam, Lahad Datu kerana dipercayai ahli kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang berpangkat komander.

    Siasatan kemudian mendapati suspek yang lebih dikenali sebagai Komander Paliyak @ Yusuf terbabit dalam beberapa kes rompakan dan penculikan di perairan Kunak dan Lahad Datu sekitar 2014 dan dipercayai keluar ke laut bagi membuat pemerhatian pergerakan pasukan keselamatan sebelum menyampaikan maklumat kepada kumpulan KFR.

    Suspek juga dipercayai tali barut KFR didalangi kumpulan Remy yang aktif melakukan jenayah rentas sempadan di selatan Filipina dan pantai timur Sabah.

    Susulan kejadian itu, Hazani berkata, usaha dipergiatkan bagi mengesan saki baki tali barut dan ahli kumpulan yang masih bebas.

    "Suspek (Abu Paliyak) dalam senarai dikehendaki pasukan keselamatan Filipina dan kita harap selepas ini ada lagi tangkapan dibuat (membabitkan saki-baki tali barut dan ahli kumpulan)," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Keselamatan pantai timur Sabah terkawal "