• Kerajaan 'Tatap' Jayakan Pan Borneo - Najib

    Published: Thursday, 7 December 2017
    A- A+
    Foto Bernama
    KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Kerajaan persekutuan akan tetap menjayakan projek Lebuh raya Pan Borneo yang akan memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di Sabah dan Sarawak.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata lebuh raya sepanjang 2,325 kilometer itu dibina dengan kos hampir RM30 bilion.

    "Bagi 'urang-urang' (orang) Sabah dan Sarawak, projek Lebuh raya Pan Borneo yang akan dimanfaati oleh anak-anak peribumi dan Malaysia akan 'tatap' kita jayakan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

    Ketika melancarkan Projek Lebuh raya Pan Borneo Sabah di Kampung Andus, Papar pada 24 April 2016, Najib dipetik sebagai berkata bahawa projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan membawa impak yang besar kepada bumi Sabah dan rakyatnya termasuk dari segi pembangunan sosioekonomi.

    Menerusi projek fasa satu, kerja pembinaan lebuh raya berkenaan merangkumi kerja menaik taraf beberapa laluan utama di Sabah.

    Laluan terbabit ialah Jalan Sindumin (Sipitang) Tg Simpang Mengayau (Kudat); Jalan Ranau-Sandakan dan Jalan Lahad Datu-Tawau.

    Pembinaan secara rasmi di Sarawak pula bermula pada 31 Mac 2015 dengan fasa pertama bermula untuk jalan sepanjang 43km dari Nyabau ke Bakun yang dijangka siap penghujung 2017 diikuti jalan Tanjung Datu-Sematan-Miri-Limbang-Lawas dengan tempoh semua projek siap dijangka dalam masa lapan tahun iaitu pertengahan 2023.

    Kerajaan Persekutuan turut memberi jaminan bahawa Lebuh raya Pan Borneo itu tidak akan dikenakan tol kerana ia adalah laluan utama pengguna jalan raya kedua-dua negeri Sarawak dan Sabah.

    Projek Lebuh raya Pan Borneo itu dianggarkan mampu mewujudkan 400,000 peluang pekerjaan untuk rakyat di Sabah dan Sarawak berikutan pembangunan yang dibawa selain peluang perniagaan serta peluang bagi kontraktor tempatan. -- BERNAMA
  • No Comment to " Kerajaan 'Tatap' Jayakan Pan Borneo - Najib "