• Kerajaan Tak Akan Selamatkan Pemaju Bermasalah

    Reporter: M. H. W.
    Published: Saturday, 16 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan menyelamatkan pemaju hartanah, terutama mereka yang membina projek mewah, yang gagal menjual unit mereka dan mengalami masalah kewangan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

    Kerajaan telah membekukan kelulusan untuk pembangunan mewah mulai 1 November 2017 bagi menstabilkan pasaran hartanah.

    “Ini adalah pembekuan sementara dan bukan larangan menyeluruh dan apabila kita melihat keadaan menjadi lebih baik, kita akan mengkajinya. Tiada tempoh tertentu untuk pembekuan tersebut.

    “Kebimbangan itu adalah di pinggir Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang. Kami mahu pemaju melihat butiran dan sasaran pasaran yang betul, kerana akhirnya, jika anda (pemaju) mempunyai masalah dan bank mempunyai masalah, kami (kerajaan) akan menghadapi masalah,” katanya.

    Johari berkata, masalah akan timbul apabila pemaju gagal menjual hartanah mewah bernilai antara RM2 juta hingga RM3 juta.

    “”Bank akan menghadapi masalah apabila ini berlaku dan Bank Negara Malaysia telah memberi peringatan kepada bank.

    Oleh itu, mereka perlu melihat perkara ini dengan serius,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Eco World International Bhd dan Be Living Holdings Ltd yang berpangkalan di UK di sini, hari ini.

    Johari berkata, pihak berkuasa tidak mempunyai masalah dengan pembangunan mewah di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur dan Bukit Bintang memandangkan terdapat permintaan kukuh daripada pembeli serta pelabur.

    “Hartanah di kawasan ini sangat banyak permintaan. Sekiranya pemaju mewah mempunyai lokasi yang betul dan yakin bahawa pembangunan itu akan menarik pembeli, dan bank yakin untuk membiayai projek, kenapa perlu bimbang? ” katanya.

    Mengikut laporan baru-baru ini, Malaysia mempunyai anggaran hartanah yang tidak terjual dan digunakan bernilai RM35.5 bilion manakala kediaman tidak terjual berjumlah 130,690 unit bernilai RM20 bilion.

    Kediaman terbabit terdiri daripada unit tidak terjual dalam projek yang telah siap dan pangsapuri perkhidmatan yang dibina atas tapak komersial.

    Laporan itu berkata, Lembah Klang mempunyai kira-kira 20 juta kaki persegi ruang pejabat kosong bernilai RM10 bilion dan sehingga tujuh juta kaki persegi ruang runcit kosong bernilai RM5.5 bilion.

    Walaupun keadaan itu berlaku, laporan itu mengunjurkan tambahan 13 juta kaki persegi ruang pejabat dan 44 juta kaki persegi ruang runcit di pasaran dalam tempoh dua tahun akan datang. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Tak Akan Selamatkan Pemaju Bermasalah "