• Kerajaan Pusat, Sarawak Kongsi Kos Bina Semula CIQ

    Published: Thursday, 28 December 2017
    A- A+
     
    SERIAN: Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak bersetuju menanggung bersama kos pembinaan semula Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Tebedu, di sini.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia sebahagian daripada inisiatif menambah baik kemudahan sedia ada di kompleks berkenaan yang sudah berusia 28 tahun dan tidak lagi mampu menampung keperluan semasa.

    Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan terdapat keperluan mendesak bagi membina semula CIQ Tebedu agar setanding CIQ Entikong yang baru disiapkan oleh Kerajaan Indonesia, khusus sebagai pintu keluar masuk utama sempadan Sarawak - Kalimantan.

    "Ini juga susulan kesepakatan dicapai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Joko Widodo dalam Rundingan Tahunan Malaysia - Indonesia Ke-12, pada 22 November lalu untuk membuka semula aktiviti perdagangan di sempadan Tebedu - Entikong setelah Perjanjian Perdagangan Sempadan dan Perjanjian Lintas Batas ditandatangani.

    "Dengan adanya kemudahan ini, kita mensasarkan kewujudan bandar sempadan, termasuk zon pertumbuhan ekonomi baharu yang mampu memberi impak positif kepada kedua-dua wilayah berjiran ini," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mengikuti taklimat cadangan projek pembangunan semula CIQ Tebedu, di sini sebentar tadi.

    Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Sarawak turut diiringi Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dan Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Jahar Gultom.

    Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan kos sebenar projek pembangunan semula kompleks berkenaan, namun menyatakan satu jawatankuasa khas sudah dibentuk, yang dipengerusikan bersama Abang Johari, bagi mengawal selia insiatif berkenaan.

    Di bawah jawatankuasa khas itu, turut ditubuhkan sebuah pasukan teknikal diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed bagi mengenalpasti segala kos berkaitan, termasuk kelengkapan dan peralatan tertentu untuk ditempatkan CIQ Tebedu.

    "Kita menetapkan tempoh 60 hari untuk kertas kerja projek ini disiapkan, seterusnya dikemukakan kepada Jemaah Menteri (Kabinet) untuk mendapatkan kelulusan dan peruntukan sedia ada," katanya.

    Ahmas Zahid berkata, kemudahan itu juga komponen terpenting bagi mengaktifkan semula Pelabuhan Darat Tebedu (TIP) bertujuan menggalakkan aktiviti dagangan rentas sempadan dan meningkatkan kapasiti dagangan di Pelabuhan Kuching.

    "KDN juga akan mengkaji semula skop projek ICQS Tebedu yang diluluskan sebelum ini bagi memastikan ia memenuhi keperluan sebenar Kompleks ICQS Tebedu yang baharu, terutama dalam konteks keselamatan, termasuk usaha memerangi jenayah rentas sempadan," katanya. - BHOnline
  • No Comment to " Kerajaan Pusat, Sarawak Kongsi Kos Bina Semula CIQ "