• Kerajaan Negeri Peruntuk RM100 Juta Bagi 114 Projek Tebatan Banjir

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    KUCHING: Bagi melaksanakan sebanyak 114 projek tebatan banjir di seluruh negeri ini, kerajaan negeri telah memperuntuk sejumlah RM100 juta untuk melaksana projek tersebut.

    Peruntukan berkenaan merupakan langkah jangka panjang kerajaan negeri mengatasi masalah banjir terutama di kawasan bandar kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    “Kita akan baiki sistem saluran perparitan di bandar-bandar termasuk kawasan Hospital Umum Sarawak, Sungai Tabuan, Padang Merdeka dan Batu Lintang yang kerap dilanda banjir kilat.

    “Sebahagian daripada projek-projek ini dalam proses pelaksanaan dan ia akan mengambil masa untuk disiapkan,” katanya.

    Memetik laporan Utusan Borneo, beliau memaklumkan daripada keseluruhan peruntukan tersebut, RM45.78 juta telah diperuntukkan tahun ini bagi melaksanakan 97 projek dengan 63 daripadanya sepatutnya siap hujung tahun ini atau awal tahun depan manakala baki 51 projek akan dimulakan tahun depan.

    Selain itu, kerja-kerja membaik pulih sistem saluran perparitan turut melibatkan kawasan utama seperti Taman Malihah, Kuarters Persekutuan, SK Muara Tuang, Sungai Sinjan dan Sungai Gersik.

    Beliau turut menasihati rakyat terutama di kawasan utara Sarawak supaya mengambil langkah berjaga-jaga akan kemungkinan hujan lebat sepanjang lima hari akan datang.

    Justeru, masyarakat dinasihati mendapatkan maklumat cuaca terkini dari semasa ke semasa menerusi aplikasi mycuaca.com.

    Katanya, jawatankuasa pengurusan bencana negeri juga telah bersedia sepenuhnya menghadapi musim tengkujuh dan kemungkinan banjir di negeri ini. – Sarawakiana
  • No Comment to " Kerajaan Negeri Peruntuk RM100 Juta Bagi 114 Projek Tebatan Banjir "