• Kerajaan Negeri Beri Sokongan Jadikan Kuching Bandaraya Perpaduan Pertama Dunia

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+
    Foto BERNAMA
    KUCHING: Usaha Yayasan 1 Malaysia (Y1M) mengiktiraf bandar raya Kuching sebagai Bandar Raya Perpaduan pertama di dunia, mendapat sokongan kerajaan negeri sepenuhnya.

    Kerajaan negeri akan mengambil pelbagai inisiatif untuk mempertahankan status bandar raya Kuching sebagai Bandar Raya Perpaduan pertama di Malaysia kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurutnya, bandar raya Kuching diisytihar sebagai Bandar Raya Perpaduan pertama di Malaysia pada 1 Ogos 2015.

    “Ini sudah tentunya usaha yang kompleks tetapi kalau kita mempunyai keazaman dan pengertian yang baik dari sudut semangat perpaduan, ia akan dapat diterjemah sebagai landasan untuk bergerak dalam satu nada, satu suara dan satu irama.

    “Inilah hakikatnya, terima kasih kepada Yayasan 1Malaysia, selepas membuat beberapa kajian di semua bandar raya di Malaysia, mereka mendapati bandar raya Kuching satu-satu bandar untuk semua rakyat pelbagai kaum dan agama, ia mesti dipertahankan,” katanya.

    Selepas disytiharkan sebagai Bandar Raya Perpaduan, katanya, dua tahun lalu kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa pendekatan untuk menghidupkan semangat perpaduan berteraskan kepada apa yang telah diiktirafkan.

    Antaranya kerajaan negeri telah bersetuju membangunkan Taman Perpaduan terletak di Taman Budaya (Reservior Park), Kuching dimana kawasan tersebut agak besar dan kandungannya pula berkisar kepada pelbagai budaya di Sarawak, yang menggambarkan perpaduan utuh dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

    “Saya bersetuju dengan Dr Chandra Muzaffar (pengerusi Y1M) bahawa dalam soal perpaduan semua negara menghadapi masalah yang kadang-kadang agak rumit untuk diselesaikan, bahkan di Malaysia ada usaha untuk menimbulkan perkara seperti itu tetapi kita di Sarawak dapat mengawal kerana kita bertolenransi antara satu sama lain,” ujarnya.

    Menurutnya toleransi dan persefahaman antara satu sama lain dalam kalangan rakyat Sarawak yang pelbagai latar belakang sosial adalah tulen.

    “Pada hemat saya, soal pokok ialah kepercayaan antara kita. Kepercayaan antara satu sama lain sangat penting sama ada anda daripada agama lain, maka tiada pihak akan menimbulkan masalah,” tegasnya.

    Tambahnya lagi, budaya seperti itu telah lama wujud dalam kalangan komuniti bandar raya Kuching apabila penduduk di sebarang Sungai Sarawak bergaul dengan baik sekali dengan penduduk di sebelah pekan Kuching.

    Sebagai contoh katanya, Pasar Cekor yang merupakan lokasi berputiknya perpaduan utuh pelbagai kaum di bandar raya Kuching.

    Toleransi antara agama juga katanya, amat utuh di bandar raya Kuching dengan rumah-rumah ibadah terletak bersebelahan antara satu sama lain dan amalan itu mesti dipertahankan.

    “Toleransi yang sangat tinggi inilah menjadi asas kepada penduduk bandar raya Kuching khasnya yang bekerja dan tinggal bersama, perkara ini tidak wujud di tempat lain,” ujarnya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Kerajaan Negeri Beri Sokongan Jadikan Kuching Bandaraya Perpaduan Pertama Dunia "