• Kerajaan DAP tak kenang budi

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kerajaan DAP Pulau Pinang disifatkan tidak tahu mengenang budi dan tidak belajar berterima kasih apabila cuba menafikan bantuan Kerajaan Persekutuan, terutama ketika banjir besar baru-baru ini.

    Perwakilan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Norhiesam Ismail, berkata segala kelemahan kerajaan Pulau Pinang dituduh sebagai salah Kerajaan Persekutuan hingga mengelirukan rakyat negeri itu.

    Sehubungan itu, beliau mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, untuk menafikan bantuan Kerajaan Persekutuan terutama membabitkan peruntukan bagi projek tebatan banjir.

    "Kita lihat sikap DAP. Bila mereka ditimpa musibah, Ketua Menteri menangis, merayu (mohon bantuan), tetapi bila Kerajaan Persekutuan hulurkan bantuan dan masalah selesai, mereka gigit tangan yang menolong.

    "Inilah wajah sebenar DAP. Parti cauvinis yang tidak tahu mengenang budi, tak pernah belajar berterima kasih. Hati mereka hitam pekat dan disebabkan itu, apa saja dilakukan Barisan Nasional (BN) tidak pernah elok di mata mereka.

    "Ketika mula memerintah Pulau Pinang, mereka dengan bongkak berjanji akan menyelesaikan masalah banjir dalam masa sembilan bulan, tapi kini sudah masuk 10 tahun tidak selesai, malah bertambah teruk.

    "Belum lagi ambil kira isu penjaja kecil Bumiputera yang dianaktirikan, kilang haram, cat laluan basikal yang menelan berjuta ringgit untuk satu kilometer, janji palsu hapuskan tol Sungai Nyior, kenaikan caj air berganda, serta isu terbesar iaitu integriti Ketua Menteri," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

    Mohd Norhiesam turut mencadangkan tiga perkara bagi meringankan beban golongan muda di Pulau Pinang, iaitu menghapuskan tol bagi pengguna motosikal bawah 200cc di Jambatan Pulau Pinang, pengurangan kos pengambilan lesen B2 serta campur tangan Kerajaan Persekutuan dalam isu perumahan mampu milik di Pulau Pinang.

    "Jangan terkejut jika generasi akan datang tidak mampu memiliki rumah di Pulau Pinang dan akhirnya buat rumah atas pokok kerana harga rumah terlalu tinggi dan melampau," katanya.-BHOnlne

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan DAP tak kenang budi "