• Keputusan Batal Saman Terhadap Subramaniam Kekal

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan saman dikemukakan lapan bekas pemimpin MIC terhadap presidennya, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan tujuh yang lain.

    Kes saman itu adalah berhubung dakwaan konspirasi untuk menjatuhkan bekas Presiden Datuk Seri G Palanivel pada tahun 2015.

    Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Subramaniam selaku perayu apabila dimaklumkan semua responden tidak akan meneruskan saman mereka.

    Responden adalah bekas Pengarah Strategik MIC, AK Ramalingam, V Ganesh, Datuk Henry Benedict Asirvatham, M Sathiyamurthu, George Alexander Fernandez, R M Prabu, R Sithambaran Pillay dan V Rajoo.

    Pada prosiding hari ini, peguam V Manokaran yang mewakili Ramalingam, Henry dan Rajoo memberitahu mahkamah, anak guam beliau tidak berhasrat untuk meneruskan saman itu dan tidak membantah terhadap rayuan perayu.

    Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Subramaniam kemudian memohon mahkamah untuk membenarkan rayuan anak guamnya.

    Hakim Zulkefli kemudian memutuskan, keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman itu dikekalkan dan arahan Mahkamah Rayuan (supaya kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan), diketepikan.

    Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

    Semua responden memfailkan saman itu pada 5 Februari 2016 dengan menamakan Subramaniam, Tan Sri S Vigneswaran, Datuk Jaspal Singh, Datuk T Mohan, Datuk A Sakthivel, V Vasanthi, bekas Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS) Datuk Mohamad Razin Abdullah dan seorang lagi pegawai ROS, Akmal Yahya sebagai defendan.

    Pada 11 Julai 2016, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semua defendan untuk membatalkan saman itu. Plaintif kemudian merayu ke Mahkamah Rayuan.

    Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi dan membenarkan rayuan Ramalingam serta responden lain dan memerintahkan kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

    Mei lalu, Ganesh, Sathiyamurthi, George Alexander, Prabu dan Sithambaram memohon untuk tidak meneruskan dengan tuntutan saman itu, sehubungan itu Mahkamah Persekutuan membatalkan nama mereka daripada senarai responden.

    Sementara itu, AK Ramalingam berkata, beliau dan dua lagi responden menarik balik saman terhadap S Subramaniam demi kebaikan MIC dan Barisan Nasional (BN).

    Ramalingam bersama Henry Benedicts Asirvatham dan V Rajoo adalah tiga responden terakhir yang setuju menarik balik saman itu, selepas lima lagi berbuat demikian Mei lalu.

    Katanya, keputusan menarik balik kes terhadap S Subramaniam dan ROS dicapai setelah rundingan damai antara kedua-dua pihak demi kepentingan parti.

    "Saya percaya, sudah tiba masanya untuk kita berdamai dan mengukuhkan parti selepas tiga tahun kes ini di mahkamah. Seperti yang dipersetujui dalam rundingan damai, semua ahli yang di luar parti sepanjang tiga tahun lalu akan diterima kembali.

    "Tiba masa kami mengetepikan perbezaan peribadi dan bersatu demi kaum India. Sebagai parti kaum India terbesar, MIC ada sejarah yang panjang komitmen terhadap kaum India.

    "Sebarang usaha untuk memanjangkan lagi kes mahkamah ini sudah tentu akan memberi kesan negatif ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)," katanya.

    Dalam kenyataan di sini, Ramalingam berkata, seperti yang diminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kumpulan G Palanivel akan bekerjasama erat dengan S Subramaniam untuk mengembalikan semula kegemilangan parti. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Keputusan Batal Saman Terhadap Subramaniam Kekal "