• Kenali Scam, Elak Diperdaya

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+

    Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menggesa para pengguna agar lebih berwaspada apabila menerima panggilan yang mencurigakan dan sentiasa peka mengenai teknik penipuan yang digunakan sindiket scam bagi mengelakkan diri daripada ditipu menerusi kegiatan haram tersebut.

    Nombor telefon pengguna menjadi sangat berbahaya jika ia diperoleh oleh penjenayah yang menggunakannya untuk memperdaya pengguna seperti penipuan scam.

    Taktik yang digunakan sindiket tersebut ialah dengan meyakinkan mangsa bahawa mereka adalah wakil bank atau badan penguatkuasa undang-undang dan menakut-nakutkan mangsa sehingga mereka terpengaruh, menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Sindiket penipuan scam boleh meniru nombor telefon pihak lain melalui kaedah "Caller ID Spoofing", dan nombor tersebut akan tertera pada telefon mangsa yang dihubungi.

    Mereka akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai dan memaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan kes jenayah, saman mahkamah, mempunyai jumlah tunggakan kad kredit atau mereka akan cuba mewujudkan situasi yang membuatkan mangsa panik sekaligus menjadikan mangsa percaya bahawa panggilan berkenaan adalah daripada pihak berkuasa atau agensi yang sah.

    "CFM menasihati pengguna agar sentiasa peka dengan teknik-teknik terkini yang digunakan oleh sindiket scam untuk memperdaya pengguna menjadi mangsa mereka. Ia juga amat penting bagi pengguna untuk memahami implikasi jika mendedahkan maklumat peribadi dengan sewenang-wenangnya kepada pihak yang diragui. Jika mendapat panggilan yang mencurigakan, CFM menyarankan agar pengguna menghubungi sendiri institusi yang berkaitan atau terus pergi ke pejabat insitusi tersebut yang berdekatan dengan anda untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut," kata Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Datuk Yusoff dalam kenyataan itu.

    TIPS CFM BAGI ELAK MENJADI MANGSA SINDIKET PENIPUAN SCAM

    1. Jangan jawab panggilan daripada nombor telefon dari luar negara yang tidak dikenali, melainkan nombor tersebut adalah senarai kenalan anda.

    2. Jangan berikan sebarang maklumat peribadi anda seperti nombor akaun bank, password perbankan online, kod CVV pada kad bank anda atau pun nombor TAC anda kepada pihak yang tidak dikenali. Jika pihak tersebut meminta maklumat tentang kad debit/kredit dan perbankan online anda, lebih baik anda tamatkan sahaja panggilan tersebut.

    3. Jika anda menerima panggilan daripada bank atau pihak penguatkuasa undang-undang mengenai sebarang masalah undang-undang melibatkan anda, catat butiran daripada pihak yang menghubungi anda dan maklumkan kepada mereka yang anda tidak dapat bercakap pada waktu tersebut dan akan menghubungi mereka semula. Bertenang dan jangan panik. Semak nombor telefon bank anda atau pihak penguatkuasa undang-undang di laman web rasmi mereka seterusnya hubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Alternatif lain, anda boleh ke pejabat mereka untuk menyelesaikan urusan berkenaan.

    4. Jangan memuat turun sebarang aplikasi jika anda diminta berbuat demikian kerana dikhuatiri mengandungi Malware atau Spyware yang mungkin dapat mendedahkan butiran peribadi anda.

    5. Hubungi Penyedia Perkhidmatan anda jika anda menerima panggilan yang tidak dikenali berulang kali.

    6. Gunakan aplikasi seperti "Truecaller" bagi mengenal pasti panggilan dan menyekat panggilan spam.

    Selain itu, pengguna juga perlu mengambil beberapa langkah proaktif bagi melindungi data peribadi agar tidak terdedah dan menjadi sasaran sindiket penipuan, tanpa perlu menghentikan semua aktiviti dalam talian. Berikut merupakan beberapa tips daripada CFM:

    1. Jangan beri nombor telefon peribadi anda untuk mendapatkan hadiah percuma atau baucar promosi. CFM menasihati pengguna agar membuat emel alternatif jika terdapat keperluan untuk mendaftar menggunakan alamat emel yang hanya mempunyai maklumat peribadi minimum untuk boleh dikenal pasti bagi mendapatkan hadiah percuma dan baucar promosi.

    2. Berhati-hati apabila mendaftar untuk sebarang pertandingan dan cabutan bertuah. Baca terma pertandingan dengan teliti sama ada penganjur pertandingan akan berkongsi data anda kepada pihak lain.

    3. Sentiasa waspada apabila mendaftar maklumat peribadi anda di mana-mana laman web. Beri nombor telefon anda jika ia benar-benar diperlukan.

    4. Sebelum memuat turun sebarang aplikasi pada telefon pintar anda, baca polisi privasi dan dapatkan maklumat yang tepat. Buat semakan di Google bagi mendapatkan ulasan tentang aplikasi tersebut yang akan membantu anda untuk mengenal pasti sebarang aplikasi yang mencurigakan.

    --BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kenali Scam, Elak Diperdaya "