• Kenal Pasti Status Kewarganegaraan Pelajar, Murid Di Sarawak Mulai Tahun Depan

    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+

    Foto The Borneo Post

    KUCHING: Mulai tahun depan, Jawatankuasa Khas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri akan turun padang untuk mengenal pasti status taraf kewarganegaraan pelajar dan murid sekolah di Sarawak.

    Pendekatan tersebut diambil berbanding menunggu permohonan status taraf kewarganegaraan dibawa Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, iaitu bagi mereka berusia 21 tahun ke bawah kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah.

    “Pada tahun 2018 akan ada usaha lebih agresif selain menerima permohonan bulanan masyarakat, jawatankuasa JPN akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan untuk turun padang.

    “Ia bagi mengenal pasti kes murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah yang bukan warganegara dan status taraf kewarganegaraan mereka belum dipastikan,” katanya di sini, semalam.

    Memetik laporan Utusan Borneo, beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A berkata, dengan langkah proaktif itu ia dapat membantu mengelakkan pelajar atau murid berkenaan daripada tercicir sekolah yang disebabkan tidak mampu membayar yuran di bawah warganegara asing.

    “Biasanya bagi kes permohonan taraf kewarganegaraan asing ini berlaku apabila ibu mereka bukan warganegara tetapi mempunyai hubungan dengan pasangannya yang merupakan rakyat tempatan.

    “Disebabkan perkara itu anak-anak yang dilahir di luar ikatan perkahwinan akan terus mendapat status kewarganegaraan mengikut si ibu melainkan pasangan berkenaan mempunyai hubungan perkahwinan yang sah di negara ini, baharulah anak mereka mendapat status kewarganegaraan Malaysia,” katanya.

    Tegasnya, sejak jawatankuasa diwujudkan sebanyak 12 mesyuarat telah diadakan dan jawatankuasa menerima 224 permohonan serta dibincangkan.

    Menurut Fatimah, pada 5 November lepas, beliau mengadakan taklimat bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk SeriAhmad Zahid Hamidi di Kuching, yang mengarahkan agar kesemua permohonan di bawah Perkara 15A yang telah dikemuka diselesaikan pada 1 Disember 2017.

    “Pada 31 November iaitu sebelum tarikh berkenaan, Majlis Penyerahan Surat Kelulusan permohonan warganegara di bawah Perkara 15A peringkat negeri telah diadakan.

    “Seramai 46 orang penerima terdiri daripada pelbagai kaum, umur dan latar belakang sosial, jelas menunjukkan bahawa kita semua amat mengambil berat terhadap masa depan anak-anak,” katanya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Kenal Pasti Status Kewarganegaraan Pelajar, Murid Di Sarawak Mulai Tahun Depan "