• Kena Tetak Sebab Jual Arak

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+

    Tiga lelaki ditahan polis di Plaza Tol Seremban-Port Dickson arah utara, berhampiran Rasah, Seremban selepas mereka menetak seorang peniaga sehingga menyebabkan mangsa cedera di kepala serta tangan, semalam.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad berkata, ketiga-tiga suspek diupah RM1,000 untuk mencederakan mangsa yang juga lelaki berusia 32 tahun.

    Katanya, mangsa ditetak menggunakan parang di Bukit Pelanduk, Port Dickson dan punca kejadian disebabkan persaingan perniagaan.

    “Mangsa menjual minuman keras di warungnya di Bukit Pelanduk menyebabkan perniagaan seorang peniaga lain merosot.

    “Berang dengan perkara itu, peniaga terbabit mengupah tiga lelaki dari Cheras, Kuala Lumpur untuk menetak mangsa,” katanya.

    Zainudin berkata, pihaknya yang menerima panggilan mengenai kejadian mengejar ketiga-tiga suspek dari Bukit Pelanduk hingga ke plaza tol berkenaan.

    “Kami mengejar suspek sejauh kira-kira 20 kilometer. Kami turut menahan suspek yang mengupah ketiga-tiganya bagi membantu siasatan.

    “Keempat-empat suspek berusia 34 tahun hingga 43 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Kena Tetak Sebab Jual Arak "