• Kementerian Pengangkutan Batalkan Lesen Operasi Labuan Ferry Corporation

    Published: Tuesday, 19 December 2017
    A- A+
    gambar hiasan


    LABUAN: Kementerian Pengangkutan mengeluarkan surat untuk membatalkan lesen operasi kepada pengusaha feri Labuan-Menumbok berkuat kuasa serta merta.

    Surat pembatalan itu dikeluarkan pada 25 Okt lepas kepada penyedia perkhidmatan feri sejak sekian lama, Labuan Ferry Corporation Sdn Bhd, dengan menyatakan alasan antara lain kerana syarikat itu telah pun dibubarkan oleh Mahkamah Tinggi Labuan dan tidak mematuhi aspek keselamatan yang diperlukan.

    Surat itu menyatakan Kementerian Pengangkutan menerima pemberitahuan daripada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah berhubung keputusan mahkamah untuk membubarkan syarikat pengusaha feri itu dan perkara ini kemudiannya disahkan oleh Jabatan Insolvensi bahawa tindakan pembubaran dibuat pada 6 Feb 2017.

    Kementerian turut menerima laporan pemeriksaan keselamatan pada 2 Okt daripada Jabatan Marin Labuan berkaitan feri MV Wawasan Perdana kendalian pengusaha feri itu yang tidak mematuhi aspek keselamatan yang diperlukan.

    Pengusaha feri yang menyediakan perkhidmatan itu selama lebih sedekad, pada mulanya mengendalikan dua buah feri iaitu Wawasan Perdana dan Warisan, bagaimanapun menamatkan operasi Feri Warisan dan hanya mengendalikan Wawasan Perdana yang ketika ini dalam proses pembaikan.

    Berikutan pembatalan lesen itu, laluan laut dari Labuan ke tanah besar Sabah kini dikendalikan oleh dua pengusaha iaitu Juta Bonus, menggunakan feri Galaxy, dan Labuan Mainland Link Sdn Bhd dengan tiga buah feri iaitu Kimanis 1, Putrajaya 2, dan Goodwill Star.

    Pengarah Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah Kapten Abel Ongkunik, yang mengesahkan pembatalan lesen itu, berkata pemberitahuan awam menerusi media adalah penting untuk mengelak penjualan secara haram tiket feri Labuan-Menumbok-Labuan oleh pihak tidak bertanggungjawab menjelang musim perayaan dan cuti persekolahan.

    Usaha Bernama untuk menghubungi pengusaha feri itu tidak berhasil.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kementerian Pengangkutan Batalkan Lesen Operasi Labuan Ferry Corporation "