• Kementerian Kesihatan Siasat Susu Rumusan Bayi Disyaki Tiruan

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+


    REMBAU – Kementerian Kesihatan turut menjalankan siasatan ekoran rampasan sejumlah 210 kotak susu rumusan bayi yang disyaki tiruan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Johor Bahru, baru-baru ini.

    Menterinya Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata beliau telah meminta Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan kementeriannya bekerjasama dengan KPDNKK menjalankan siasatan itu.

    “Saya difahamkan KPDNKK sudah menghantar sampel susu berkenaan kepada Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Hospital Rembau yang sedang dalam pembinaan di Chembong di sini, hari ini.
    Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan yang juga anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri Datuk Zaifulbahri Idris.

    Mengulas lanjut, Subramaniam berkata, “Kita juga ingin tahu puncanya, di mana susu itu datang, rantaian bekalan logistiknya dan bila susu itu memasuki rantaian bekalan.”

    Khamis lepas, KPDNKK Johor merampas susu rumusan bayi yang disyaki tiruan yang dianggarkan bernilai RM42,000 dalam lima serbuan sekitar Johor Bahru.

    Ini susulan aduan tentang seorang bayi mengalami muntah-muntah yang teruk setelah mengambil susu itu yang kemudiannya didapati tiruan oleh pihak pengeluar produk susu berkenaan.

    Mengenai Hospital Rembau, beliau berkata hospital itu dijangka siap pembinaanya Jun tahun depan.

    Katanya Hospital Rembau yang mula dibina pada 2013 sepatutnya sudah siap pada penghujung tahun lepas, tetapi mengalami kelewatan berikutan beberapa masalah yang dihadapi.

    “Sehingga November lepas, pembinaan hospital ini telah siap 82 peratus. Kos pembinan hospital ini yang mempunyai 79 katil adalah RM104 juta. Hospital ini akan mempunyai wad lelaki, wanita, kanak-kanak dan wad bersalin.

    Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata, “Hospital ini sangat-sangat dinantikan oleh penduduk daerah Rembau dan sekitarnya.

    “Dengan siapnya hospital itu nanti, para pesakit di daerah ini tidak perlu lagi ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Hospital Tampin dan Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan kesihatan,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kementerian Kesihatan Siasat Susu Rumusan Bayi Disyaki Tiruan "