• Keluarga Dadah Terima Padah

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+

    BANGKOK – Seorang pengedar dadah terkenal Thailand berusia 76 tahun dipenjara seumur hidup, manakala isteri dan dua anak lelakinya turut dihukum termasuk dikenakan hukuman mati kerana mengedar 20 kilogram (kg) syabu di kawasan segi tiga emas dadah negara itu, tahun lalu.

    Laota Seanlee bekas gerila antikomunis yang menjadi pengedar dadah, malah pada masa sama membuka kedai kopi di utara Thailand. Dia ditahan bersama beberapa anggota keluarga termasuk isteri dan dua anak lelakinya dalam operasi samaran polis, tahun lalu.

    Zon digelar segi tiga emas yang turut merangkumi beberapa bahagian Myanmar, Laos serta selatan China antara lokasi penghasilan dadah terbesar di dunia yang membekalkan heroin serta methamphetamine ke seluruh Asia.

    Namun, penangkapan berskala besar seperti ini jarang berlaku.

    Laota, dari kumpulan etnik Lisu ditahan beberapa kali sepanjang beberapa dekad lalu, tetapi tuduhan besar terhadapnya tidak pernah berjaya dibuktikan sehingga tangkapan ini.

    Semalam, mahkamah jenayah di Bangkok menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadapnya kerana menjual syabu kepada polis yang menyamar serta memiliki 20kg dadah berkualiti tinggi itu di pekarangan rumahnya. Dia mengaku salah terhadap tuduhan berkenaan.

    Hakim yang mendengar perbicaraan itu berkata: “Mahkamah pada mulanya mahu memberikan hukuman mati kerana tuduhan memiliki dan niat menjual 20kg dadah tetapi disebabkan dia mengaku salah, hukuman berkenaan dikurangkan kepada penjara seumur hidup dan denda 2.5 juta baht (RM313,000).”

    Isteri Laota turut dipenjara 25 tahun, manakala dua anak lelakinya – termasuk seorang yang juga pegawai tadbir tempatan di wilayah Chiang Mai – yang menafikan tuduhan membantu mengedar dadah dihukum gantung sampai mati.

    Anak-anaknya akan merayu terhadap hukuman berkenaan. – AFP/myMetro Online

    Subjects:

  • No Comment to " Keluarga Dadah Terima Padah "