• Kekang Pendakwah Tanpa Tauliah Masuk Sarawak

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+

    KUCHING: Kegiatan 'pendakwah bebas' dan pendakwah dari luar Sarawak mesti disekat selain urusan pentauliahan perlu lebih telus dalam usaha membendung belia negeri ini menyertai aktiviti pengganas.

    Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, jika pentauliahan tidak telus dibimbangi ada anasir luar yang boleh 'tembus' dan memasuki negeri ini.

    Sehubungan itu menurutnya, agensi agama di negeri ini perlu proaktif dan inovatif dalam untuk memastikan urusan pentauliahan dijalankan secara telus.

    "Saya sudah lama suarakan perkara ini. Kita bimbang urusan pentauliahan kita kurang telus hingga ada anasir luar yang boleh tembus (masuk)," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penangkapan seorang lelaki rakyat Sarawak dipercayai terlibat dengan anggota kumpulan pengganas Daesh yang ditahan Pasukan Keselamatan Lapangan Terbang (ASF) di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Pakistan pada 23 Disember lalu.

    Memetik laporan Pakistan Today, lelaki asal Malaysia itu dikatakan telah melakukan penerbangan dari Bangkok sebelum tiba di Lapangan Jinnah.

    Turut ditahan bersamanya adalah senjata api dan peluru, sementara itu pasportnya turut dirampas.

    "Selain itu turut dirampas bersamanya adalah empat pistol, lapan majalah dan 70 peluru," petik laporan berkenaan.

    Lelaki berkenaan berasal dari Sarawak berdasarkan pasportnya dan kini ditahan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan oleh polis Pakistan.

    Sementara itu, Juanda turut menggesa agensi kerajaan supaya memperhebatkan usaha dalam mengadakan lebih banyak program penerangan dan dakwah.

    "Agensi kerajaan yang terbabit perlu proaktif melakukan usaha dakwah kepada generasi muda.

    "Pendekatan juga mesti pelbagai dan inovatif," ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng.-Sarawakiana




  • No Comment to " Kekang Pendakwah Tanpa Tauliah Masuk Sarawak "