• Keaslian Musang King Bakal Disahkan Kod QR

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Keaslian durian Musang King akan dikenal pasti pada masa depan melalui penggunaan teknologi Radio-Frequency Identification (RFID) bagi beza daripada durian biasa, Dewan Negara diberitahu pada Selasa.

    Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata durian-durian itu akan diberikan Kod QR atau Quick Response Code tersendiri bagi memastikan tahap keasliannya.

    Katanya, kaedah pengesanan menerusi RFID itu kini diguna pakai untuk pengedaran Sarang Burung Walit apabila setiap sarang akan mempunyai kodnya sendiri bagi tujuan mengenal pasti dari mana ia dikeluarkan.

    “Sehubungan itu, setiap durian Musang King dan durian lain pada masa depan akan diberi Kod QR. Kod bar jenis baris matrik itu membolehkan orang ramai untuk mudah mengimbasnya menerusi telefon bimbit.

    “Di China, durian banyak datang dari Thailand tapi apabila ada QR Code maka lebih mudah untuk mengenal pasti negara yang mengeksport durian tersebut.

    “QR Code ini penting untuk memastikan keasilan durian itu,” kata Ahmad Shabery semasa menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahman Mat Yasin pada persidangan Dewan Negara.

    Setakat ini kira-kira 23,700 hektar tanah daripada keseluruhan 66,000 hektar tanah untuk tanaman durian di seluruh negara ditanam dengan jenis Musang King, manakala 569,087 pokok daripada 1.5 juta pokok durian yang didaftarkan adalah pokok itu.

    “Durian Musang King adalah punca kekayaan baru untuk negara ini kerana nilai pasaran dan eksport yang tinggi ke dunia luar. Permintaan terhadap durian ini dijangka meningkat pada masa akan datang,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Keaslian Musang King Bakal Disahkan Kod QR "