• Ke Hospital Naik Pesawat

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+

    Cuaca buruk tidak menghalang penerbangan ihsan diteruskan bagi menyelamatkan penduduk Orang Asli di Pos Balar, Gua Musang yang mengalami bengkak bahu kiri kritikal, 3.30 petang semalam.

    Penerbangan ihsan itu dilakukan untuk membawa Angah Along, 27, mendapatkan rawatan di Hospital Gombak berikutan jalan darat rosak dan terhalang akibat tanah runtuh.

    Pesawat Agusta AW 139 Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat terpaksa membuat penerbangan ihsan dua kali selepas cubaan mendarat kali pertama gagal berikutan hujan lebat dan angin kencang.

    Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara Subang, Penolong Penguasa Mohd Farhan Marzuki berkata, pesawat itu berlepas dari Subang, 12 tengah hari selepas menerima laporan 9 pagi.

    "Difahamkan, sebelum ini Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) cuba membawa keluar pesakit itu dua hari berturut-turut melalui jalan darat namun gagal berikutan jalan rosak dan tanah runtuh akibat hujan lebat.

    "JAKOA kemudian hubungi kita untuk bantuan penerbangan ihsan kerana pesakit dalam keadaan kritikal sejak tiga hari lalu.

    "Biarpun keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, kita tetap membuat penerbangan ihsan menyelamatkan mangsa untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya hari ini.

    Menurutnya, sebaik tiba, pesawat yang dikendalikan juruterbang Kapten Sidek Abbas tidak dapat mendarat kerana cuaca buruk sebelum berpatah balik ke Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang.

    "Selepas berehat 10 minit, kami meneruskan penerbangan ihsan dan berjaya mendaratkan pesawat di kampung terbabit 3.30 petang dan terus membawa pesakit ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Ke Hospital Naik Pesawat "