• KDNK Malaysia Antara 5.0-5.5 Peratus Tahun Depan

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi Malaysia akan mencatat pertumbuhan antara 5.0 hingga 5.5 peratus tahun hadapan dan inflasi meningkat dengan kadar lebih perlahan.

    IMF dalam satu kenyataan berkata, sementara kitaran peningkatan akan kembali normal, momentum aktiviti dijangka kekal kukuh pada tempoh enam bulan tahun depan, disokong oleh permintaan domestik dan pengukuhan dalam dagangan global.

    "Inflasi dijangka menurun kepada 3.0 hingga 3.5 peratus (daripada 4.0 peratus) susulan kesan lebih rendah daripada kenaikan harga minyak global," katanya.

    Bagi 2017, IMF berkata, ekonomi negara menunjukkan pengukuhan dalam tempoh beberapa tahun dan dijangka terus mencapai prestasi lebih baik.

    Unjuran pertumbuhan ekonomi 2018 itu adalah selaras dengan jangkaan rasmi kerajaan yang diumumkan ketika pembentangan Bajet 2018 lalu iaitu antara 5.0 - 5.5 peratus.

    Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencatat pertumbuhan 5.9 peratus tahun ke tahun dalam tiga suku pertama tahun 2017. Secara keseluruhan, ekonomi negara mencatat pertumbuhan 5.5 hingga 6 peratus.

    IMF berkata, pada tahun ini, indeks harga pengguna meningkat berikutan kenaikan harga minyak dengan bacaan menghampiri 4.0 peratus.

    Sementara itu, dari sudut luaran, lebihan baki akaun semasa meningkat, didorong eksport yang kukuh.

    IMF mengeluarkan laporan itu berikutan kesimpulan daripada lawatan ke Malaysia pada 28 November hingga 8 Disember lalu.

    Kumpulan itu diketuai Nada Choueiri dan mereka mengadakan lawatan di Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi perbincangan Rundingan Article IV 2018 bersama Malaysia.

    Kumpulan itu bertukar pandangan dengan pegawai kanan kerajaan Malaysia dan Bank Negara (BNM) serta turut bertemu dengan wakil daripada sektor swasta.

    "Permintaan tinggi terhadap elektronik yang memberi manfaat kepada eksport Malaysia, mungkin bertahan lebih lama dari jangkaan, manakala risiko penurunan termasuk ketidaktentuan polisi dalam ekonomi maju dan keadaan kewangan global yang lebih ketat.

    "Rancangan kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi pada 2017 hingga 2018 adalah sesuai, dan ia akan membantu mengekalkan keyakinan pasaran kewangan.

    "Dalam jangka sederhana, polisi fiskal perlu mengikuti laluan pengukuhan secara ansur, dan kandungan pelarasan boleh ditambah baik dengan menambah asas pendapatan serta memberi ruang pembaharuan struktur dan meningkatkan perbelanjaan sosial untuk pertumbuhan insklusif," katanya.

    IMF berkata, tahap akomodatif dasar monetari yang menyebelahi pengurangan adalah sesuai, berikutan potensi pertumbuhan dengan inflasi teras kekal stabil.

    "Kebergantungan terhadap fleksibiliti mata wang secara berterusan dan pelarasan polisi makroekonomi patut menjadi pertahanan pertama terhadap perubahan ketara aliran modal.

    "Penekanan pihak berkuasa terhadap rundingan dengan peserta pasaran dalam membangunkan pasaran kewangan di luar negara dialu-alukan. Komunikasi berterusan mengenai inisiatif untuk memperdalam pasaran ini dari masa ke masa akan membantu meningkatkan keyakinan,.

    "Sektor kewangan kekal berdaya tahan. Keuntungan dan kecairan bank kukuh dan akses korporat kepada kredit kekal baik. Walaupun kenaikan harga rumah disederhanakan, risiko tetap wujud terhadap pendedahan kepada gadai janji . Bagaimanapun, impak terhadap kewangan makro terkawal," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " KDNK Malaysia Antara 5.0-5.5 Peratus Tahun Depan "