• Kastam rampas 1.5 juta pil Eramin 5 di LTAPP

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+


    SEBERANG PERAI - Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di negeri ini selapas menemui kira-kira 1.5 juta pil Eramin 5 bernilai RM23 juta dalam serbuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas dekat sini pada minggu lalu.

    Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya pada sidang akhbar di Perai di sini sebentar tadi berkata, pihaknya setakat ini menahan tiga lelaki berusia antara 18 hinggga 34 tahun bagi membantu siasatan.

    Menurut Zulkifli, pada serbuan di Zon Perdagangan Bebas Kargo MAS LTAPP kira-kira pukul 9 pagi pada 17 Disember lalu, pihaknya menemui 12 kotak yang mengandungi dadah disyaki pil Eramin 5 berjumlah 1,541,000 biji dengan nilai dianggarkan RM23,115,000.

    Zulkifli berkata, menurut rekod penerbangan, bungkusan berkenaan dibawa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taipei City, Taiwan dan LTAPP merupakan destinasi terakhir.

    Menurutnya, dua daripada suspek yang bekerja di syarikat agen penghantaran sedang ditahan reman selama 12 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Kastam rampas 1.5 juta pil Eramin 5 di LTAPP "