• Kasihannya Bayi Ini, Yang Belum Mengerti...

    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+

    Dua lagi rakyat Palestin terkorban hari ini selepas rejim Zionis melakukan serangan udara menggunakan bom pada dron di bandar Beit Lahya, utara Semenanjung Gaza menjadikan jumlah korban kepada enam orang.

    Penyelaras Media Aman Palestin di Gaza, Hamza Deirawi melaporkan, dua yang terkorban itu terkena serangan bom ketika menunggang motosikal selepas ketegangan berlaku ekoran bantahan pengisytiharan haram Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

    “Dua orang lelaki yang hanya dikenali sebagai Mustafa Al-Sultan dan Hussein yang menunggang motosikal terkena serangan bom yang digugurkan menggunakan dron pada 2 petang (waktu tempatan) dan mayat mangsa dibawa ke hospital.

    “Sumber pasukan perubatan memberitahu mayat mangsa kini berada di Hospital Indonesia, manakala tiga orang juga cedera parah dalam serangan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Jurucakap tentera Israel bagaimanapun menafikan menjadi dalang kepada serangan berkenaan.

    Hamza berkata, empat yang maut sebelum ini dikenal pasti sebagai Mahmoud Masri, 30, Maher Atallah, 54, Abdullah Atal, 28, dan Mohammed Safadi, 30, sejak bantahan bermula pada Rabu lalu.

    Sementara itu, Hamza berkata, seorang bayi lelaki berusia enam bulan, Yousuf Shkian antara 259 yang cedera di Semenanjung Gaza susulan pertempuran rakyat Palestin dengan rejim Zionis dengan keseluruhan mangsa yang cedera di seluruh Palestin mencecah 1,781 orang.

    "Sejak bermulanya Al-Quds Intifada iaitu pemberontakan yang dianjurkan bagi menentang keputusan itu, sumber pasukan perubatan Palestin memberitahu yang mereka merawat mangsa cedera di Tebing Barat, Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza.

    "Di Tebing Barat dan Baitulmaqdis saja, pasukan perubatan merawat 1,396 mangsa cedera, 33 daripadanya terkena tembakan peluru hidup, 323 ditembak dengan peluru getah, 998 mengalami sesak nafas terhidu gas pemedih mata, 24 cedera akibat dipukul dan 18 lagi dipukul menggunakan tong gas pemedih mata," katanya.

    Sementara itu, di Semenanjung Gaza 382 cedera dengan 85 daripadanya ditembak peluru hidup, 14 ditembak dengan peluru getah, 235 sesak nafas terhidu gas pemedih mata, 12 cedera dipukul dan 21 dipukul menggunakan tong gas pemedih mata dan 15 cedera disebabkan serangan udara rejim Zionis.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Kasihannya Bayi Ini, Yang Belum Mengerti... "