• Kapit Dapat Gereja Bernilai RM5 Juta

    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    KUCHING: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM5juta bagi pembinaan sebuah gereja Methodist di Kapit.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan bagi membina gereja tersebut telah diluluskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg baru-baru ini.

    Menurutnya, semasa lawatan kerja pertama Abang Johari ke Kapit, beliau telah menyatakan penduduk Kapit memerlukan sebuah gereja yang besar di kawasan tersebut.

    “Ketika lawatan kerja pertama Abang Johari ke Kapit sebagai Ketua Menteri, saya memaklumkan kepadanya yang kita memerlukan RM3 juta untuk membina sebuah gereja besar di Kapit.

    “Sebelum beliau (Abang Johari) berucap di hadapan khalayak ramai di Dewan Suarah Kapit ketika itu, tanpa disangka, beliau memberitahu akan memperuntukkan RM5 juta bagi tujuan berkenaan.

    “Maknanya kita mendapat peruntukan RM5 juta daripada kerajaan negeri untuk membina gereja Methodist di Kapit,” katanya.

    Nanta menjelaskan, reka bentuk bagi gereja telah disiapkan dan dalam jangka masa waktu terdekat pembinaan gereja Methodist tersebut akan dimulakan selepas perkara berkaitan selesai.-Sarawakiana
  • No Comment to " Kapit Dapat Gereja Bernilai RM5 Juta "