• Kampung Terpencil Kena Lelong

    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+

    BERLIN: Seorang pembida tidak dikenali berjaya membeli sebuah perkampungan kecil di Brandenburg, timur Jerman yang dilelong pada harga AS$165,000 (RM672,649).

    Perkampungan Alwine yang terletak hampir 150 kilometer di selatan Berlin, dilelong pada Sabtu lalu.

    Rumah lelong Karhausen menetapkan tawaran minimum untuk membida kampung seluas 16,000 meter persegi pada harga AS$147,000 (RM599,396.17).

    Pembeli berkenaan adalah satu-satunya pembida tunggal yang kini memiliki enam rumah, beberapa bangsal serta bangunan kecil di kampung itu.

    Penduduk kampung itu berharap dengan penjualan berkenaan satu pembaharuan dapat dilakukan memandangkan keadaannya semakin usang selepas dibeli dua beradik pada 2000.

    Kedudukan kampung berkenaan tersembunyi di sebalik kawasan hutan selain tidak ada kemudahan pengangkutan atau kedai di sepanjang jalan.

    Perkampungan itu kini didiami 15 orang saja berikutan penutupan kilang batu arang tertua di situ selepas penyatuan semula Jerman pada 1990.

    Sejak itu, ramai pihak berminat untuk membelinya termasuk dari luar negara, kata jurucakap Karhausen, Matthias Knake, menurut Deutsche Welle. - Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Kampung Terpencil Kena Lelong "