• Kalau Nak Tegur Guna Perkataan Lebih Baik - Ella

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+

    "Saya berterima kasih kerana memberi pandangan ikhlas," kata penyanyi rock, Ella berhubung kritikan dilemparkan pereka fesyen, Hatta Dolmat terhadap penampilannya pada malam Konsert Ella Live With The MPO: A Rock Queen's Journey baru-baru ini.

    Kritikan itu ditulis Hatta menerusi laman Twitter miliknya berbunyi 'saya kasihan tengok Ella saya suka imej dulu Ella, yang now ni tak faham la macam ular sawa belit kak Ella pun ada. Jangan pelik pelik sangat Kak Ell. Tak Rock langsung!'

    Ella, 51, berkata, dia sedikit tidak terasa hati atau marah sebaliknya menyifatkan pereka itu berani melontarkan pendapat secara terbuka.

    "Saya hanya memberi sokongan kepada pereka tempatan. Pada saya teguran diberikan lebih kepada pandangan ikhlas. Saya tak marah atau terasa hati pun. Saya sentiasa berfikiran positif.

    "Bagi saya, dia seorang yang berani dan caranya bagus. Cuma, mungkin selepas ini boleh menggunakan bahasa dan perkataan lebih baik. Pesanan ini bukan saja untuk pereka ini, tetapi sesiapa saja.

    "Lagi pula, tegurannya lebih kepada fesyen dan bukan keperibadian seseorang. Perlu diingat, pereka fesyen lain juga cari rezeki. Jadi, boleh gunakan bahasa lebih ilmiah," katanya kepada Harian Metro.

    Berkongsi mengenai kerjaya seninya, Ella bakal menjayakan konsert Peace, Love, Rindu (PLR) di Singapura pada 9 Februari tahun depan.

    Konsert itu adalah kemuncak kepada sesi promosi album barunya, Peace, Love, Rindu (PLR) yang dilancarkan baru-baru ini.

    "Selepas siri jelajah berakhir di Pulau Pinang pada 30 Disember ini, saya bakal menjayakan konsert khas sempena penerbitan album ini. Saya akan menyanyikan semua lagu dalam album ini.

    "Selain itu, saya juga merancang mengadakan konsert di Jepun dan Royal Albert Hall London. Insya Allah, saya bersedia jika diberi peluang. Doakan projek ini menjadi kenyataan tahun depan," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Kalau Nak Tegur Guna Perkataan Lebih Baik - Ella "