• “Kalau Hasil Baik, Peminat Akan Sentiasa Sokong”-Janna

    Published: Thursday, 7 December 2017
    A- A+

    WALAUPUN ramai artis-artis baharu yang sanggup nama mereka terpalit dengan kontroversi semata-mata untuk popular, namun aktres Janna Nick enggan memilih jalan singkat seperti itu.

    Janna atau nama sebeanrnya, Nurul Jannah Muner,22, menegaskan sekerasnya bahawa dia langsung tidak memerlukan gimik atau mereka-reka cerita demi mempromosikan lagu mahupun lakonannya.

    “Saya tidak memerlukan gimik sebagai strategi promosi produk. Kalau kita hasilkan sesuatu yang baik, ia akan menjadi permintaan ramai. Cukuplah dengan prestasi yang ada.

    “Lagipun, saya tak biasakan gunakan kuasa viral untuk popular. Jika nak, sudah tentu dari dulu saya reka cerita cinta atau macam-macam lagi semata-mata untuk menaikkan nama.

    “Saya juga yakin peminat saya, terutama di laman sosial, adalah tulen. Mereka suka mengikuti drama saya dan nak kenal siapa sebenarnya Janna Nick. Jadi, tidak perlu untuk mencipta sesuatu yang tak betul,” katanya yang baru sahaja melancarkan single terbaharu yang berjudul Akan Bercinta.

    Lagu Akan Bercinta merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Aepul Roza yang mana turut merupakan lagu tema bagi drama My Coffee Prince.

    Sejak dimuat naik dekat Youtube pada 1 Disember yang lalu, muzik video tersebut telah ditonton sebanyak hampir 400 ribu kali!

    Woww… Tahniah Janna! Walaupun dalam masa mempromosikan lagu tersebut, akaun Instagram miliknya telah digodam oleh individu yang tidak bertanggungjawan namun dia tetap berjaya menambat hati peminat.

    Tambah pelakon yang berasal dari negeri jelapang padi itu, penggambaran muzik video tersebut telah dijalankan di Itali serta kesemua idea merupakan arahan daripada Janna sendiri.

    “Inilah arahan pertama saya, sekali gus percubaan untuk memulakan langkah di arena pengarahan. Saya turut menghasilkan papan ceritanya sendiri, tetapi terpaksa lakar orang lidi kerana saya tak pandai melukis.

    “Lucu hingga ada yang mengetawakan saya. Apa pun, walau mengejar waktu kerana pada masa sama kami juga merakamkan video muzik untuk single duet bersama Alvin Chong, sokongan semua kru dan rombongan membuatkan kami semua berpuas hati dengan hasilnya,” tambahnya lagi.

    Tahniah diucapkan kepada Janna kerana tidak menggunakan kuasa viral mahupun kontroversi murahan semata-mata untuk melariskan lagu anda. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " “Kalau Hasil Baik, Peminat Akan Sentiasa Sokong”-Janna "