• Kajian Invoke Rafizi Dipersoalkan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+


    Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli telah mengemukakan kajian Invoke Malaysia yang diterajui oleh beliau kononnya kaji selidik terkini yang dijalankan menunjukkan sokongan kaum Melayu kepada UMNO dalam pilihan raya akan datang semakin merosot.

    Jika diikutkan, kredibiliti Invoke ini memang boleh dipersoalkan terutama dari segi kajian itu sendiri. Siapa yang memperakukan kajian berkenaan? Tidak pula ia dinyatakan oleh Rafizi malah tiada ahli akademik yang terlibat dalam kaji selidik terbabit.

    Begitu juga dengan responden untuk kaji selidik terbabit. Siapakah mereka dan bagaimana ia dilakukan? Kenapa Invoke menjalankan kajian-kajian seumpama ini tetapi gagal membongkarkan salah laku dalam tadbir urus kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini.

    Malah Invoke sendiri berdepan dengan kontroversi apabila pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor pada September lalu mempertikaikan bagaimana Invoke menggunakan sumbangan orang ramai, khasnya bayaran kepada sebuah syarikat pembekal tenaga kerja kepada badan kaji selidik itu, KEIP Resources Sdn Bhd.

    Rizal mendakwa carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan Rafizi ialah pemegang saham utama syarikat itu.

    Begitu juga dengan kredibiliti Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, yang kini dipersoalkan ramai.

    Dalam kes terbaru, beliau telah tersilap dengan menyangka Ketua Pegawai PICO Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd yang dikenali sebagai Raslan Dahlan adalah abang kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

    Rafizi mendakwa Rahman mengamalkan nepotisme dengan melantik saudaranya untuk mengendalikan Ekspo Negaraku yang berlangsung di Dataran Merdeka selama sebulan mulai 15 November lalu.

    Ia mengakibatkan Rahman melantik peguam untuk mengkaji segala ruang undang-undang yang boleh diambil terhadap Rafizi.

    Bukan sekali tapi sudah banyak kali Rafizi membuat tekaan yang silap. Sebelum ini beliau telah tersilap mngenal pasti Siew Boey sebagai “Florence Goh” yang merupakan pengarah Godfrey Group Ltd, sebuah syarikat yang terlibat dalam kontrak melobi untuk Malaysia di Amerika Syarikat.

    Rafizi kemudian berkata beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kesilapan itu, dan memohon maaf kepada Siew Boey dan CRT Insights Technologies kerana menyiarkan nama mereka.

    Disebabkan kes-kes tersebut, integriti Rafizi telah dipersoalkan. Kecenderungan untuk mendedahkan sesuatu tanpa menyiasat terlebih dahulu merupakan satu perbuatan yang merbahaya apatah lagi bagi wakil rakyat.-suaratv

    Subjects:

  • No Comment to " Kajian Invoke Rafizi Dipersoalkan "