• Kad hijau wajib untuk masuki tapak pembinaan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+


    KOTA BHARU:  Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) negeri meminta majikan khususnya kontraktor di sektor pembinaan memastikan semua pekerja mempunyai kad personal binaan atau kad hijau sebelum dibenarkan memasuki tapak projek.

    Pengarah CIDB negeri, Jasmi Mohd. Salleh berkata, kad hijau hanya diberikan kepada pihak dan pekerja yang sudah mengikuti kursus anjuran CIDB bagi menjamin keselamatan di tapak binaan.

    Beliau berkata, tindakan boleh diambil di bawah Akta CIDB 1994 (Akta 520) ke atas pihak yang melakukan kerja di tapak binaan tanpa perakuan CIDB iaitu kompaun maksima RM5,000 seorang.

    "Tidak kiralah sama ada kontraktor sendiri ataupun pekerja termasuk warga asing semuanya perlu memiliki kad hijau untuk masuk ke tapak pembinaan.

    "Kita dapati daripada operasi mengejut yang kita jalankan bersama agensi lain di tapak-tapak pembinaan masih ramai lagi majikan dan pekerja tidak mematuhi peraturan ini," katanya selepas penyerahan zakat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), di sini hari ini.

    Pada majlis itu, Jasmi menyerahkan zakat korporat CIDB berjumlah RM 45,709 kepada Maik yang diwakili Timbalan Yang Dipertuanya, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi.

    Sementara itu, Nik Mohd Azlan berkata, sebanyak RM160.8 juta jumlah zakat berjaya dikutip pihaknya sehingga semalam. - UTUSAN ONLINE


    Subjects:

  • No Comment to " Kad hijau wajib untuk masuki tapak pembinaan "