• Kabinet Belum Bincang Isu Baitulmaqdis

    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pandangan dan kebimbangan agensi berkaitan, termasuk Wisma Putra dalam mewujudkan pejabat kedutaan Malaysia di Timur Baitulmaqdis akan diperhalusi.

    Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata mesyuarat Kabinet hari ini, tidak membincangkan kemungkinan Malaysia mengikut jejak langkah Turki dalam mengiktiraf Palestin.

    Katanya, kerajaan memerlukan masa dalam meneliti isu terbabit kerana wajar mengambil kira pandangan daripada aspek ekonomi, hubungan luar negara dan keselamatan serantau.

    "Kita akan gabungkan semua pandangan dan ambil kira apa juga kebimbangan (untuk membuka pejabat kedutaan Malaysia di Timur Baitulmaqdis)," katanya kepada pemberita, hari ini.

    Terdahulu, beliau yang tiba jam 1.20 tengah hari meluangkan masa kira-kira 40 minit untuk meninjau operasi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM),

    Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, turut mengadakan sesi dialog mencakupi pelbagai isu pengurusan dan perkara berbangkit bersama 300 kakitangan hospital serta pengamal perubatan hospital angkatan tentera sekitar Lembah Klang.

    Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

    Datuk Seri Najib Razak, semalam menjelaskan Kabinet akan membincangkan keperluan Malaysia untuk membuka pejabat kedutaan di Timur Baitulmaqdis.

    Perdana Menteri berkata, perkara itu perlu diperhalusi Kabinet termasuk mendapatkan pandangan pihak berkuasa Palestin mengenainya terlebih dahulu.

    Hishammuddin berkata, isu Baitulmaqdis menyentuh masa depan umat Islam, sekali gus merentasi sempadan politik dan ideologi mana-mana parti.

    Sehubungan itu, beliau menyifatkan, pendirian parti politik yang enggan menyuarakan sokongan atau solidariti terhadap Baitulmaqdis bakal dipersoalkan masyarakat, khususnya umat Islam.

    "Kalau Pemuda MCA dan MIC pun suarakan solidariti mengenai isu Baitulmaqdis, mengapa ada parti politik yang terasnya Islam tidak mahu perjuangkan ibu kota suci ini?

    "Terserah kepada mereka kerana rakyat akan mengadilinya," katanya mengulas keengganan Parti Amanah Negara daripada menyertai Himpunan Solidariti Palestin, di Putrajaya, Jumaat ini.

    Dalam perkembangan lain, Hishammuddin tidak menolak kemungkinan lebih banyak penyebaran dakyah pembangkang menerusi helah politik kebencian dijaja demi meraih sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    "Sedangkan insiden pencerobohan Lahad Datu (Sabah) pembangkang boleh kata ia sandiwara, maka tidak mustahil macam-macam (helah) akan timbul, termasuk kapal selam tidak boleh selam kerana itu kerja mereka," katanya. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Kabinet Belum Bincang Isu Baitulmaqdis "