• Juruwang CIMB dituduh pecah amanah RM194,000

    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+


    KAKITANGAN Bank CIMB Cawangan Seremban 2 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas empat pertuduhan pecah amanah berjumlah RM194,000, bulan lalu.

    Nurul Wahidah Kamarozaman, 27, yang juga juruwang bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa di depan Hakim G Ramesh.

    Mengikut pertuduhan, Nurul Wahidah didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan memindahkan wang milik bank itu ke akaun pihak ketiga tanpa pengetahuan dan persetujuan pihak bank berkenaan.

    Pemindahan wang dilakukan secara berperingkat sebanyak empat kali membabitkan jumlah keseluruhan RM194,000.

    Perbuatan berkenaan dilakukan antara jam 10.12 pagi hingga jam 3.16 petang, 30 November lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun hingga 14 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuralis Mat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan jaminan RM32,000 selain menetapkan 11 Januari ini untuk sebutan semula kes.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Juruwang CIMB dituduh pecah amanah RM194,000 "