• Jumpa Rekahan, Perkhidmatan Shinkansen Dihenti Sementara

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+

    TOKYO: Rekahan ditemui pada kereta api laju Jepun yang menyebabkan nahas, kata pegawai hari ini, dalam 'kejadian serius' pertama bagi pengangkutan ikonik itu.

    Kru di atas kereta api laju 'shinkansen' melaporkan bau terbakar dan bunyi bising pelik ketika ia bergerak keluar dari stesen di selatan Jepun kelmarin.

    Kereta api itu berhenti untuk pemeriksaan di stesen Nagoya di tengah Jepun dan pemeriksa menemui rekahan pada casis di bawah salah satu gerabak selain kebocoran minyak.

    Jika terus bergerak, rekahan itu akan menyebabkan ia tergelincir dalam senario kes terburuk, kata pegawai pengangkutan.

    Kira-kira 1,000 penumpang dalam kereta api itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan meneruskan perjalanan dengan kereta api baru.

    "Kami mengenal pastinya sebagai 'kejadian serius' kerana ia adalah kes luar biasa. Ia boleh menyebabkan kemalangan," kata pegawai Lembaga Keselamatan Pengangkutan Jepun.

    Ia adalah kejadian serius pertama sejak badan keselamatan terdahulu diwujudkan pada 2001.

    "Kami menghantar tiga pemeriksa ke Nagoya untuk mencari puncanya.

    "Laporan mereka akan memasukkan langkah mengelakkan ia berulang," kata pegawai berkenaan.

    Shinkansen pernah tergelincir sebelum ini disebabkan gempa bumi tetapi tiada siapa cedera. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Jumpa Rekahan, Perkhidmatan Shinkansen Dihenti Sementara "