• Jumpa Bom Belakang Stesen Minyak

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Sunday, 10 December 2017
    A- A+

    Kontraktor yang memantau kawasan lapang di belakang stesen minyak di Jalan Semambu, Kuantan tergamam apabila menemui tiga butir bom lama, 9 pagi, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, susulan penemuan bahan letupan itu, kontraktor terbabit kemudian menghubungi Balai Polis Kuantan untuk meminta bantuan.

    "Sepasukan anggota dari Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang bergegas ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

    Beliau berkata, polis mengesahkan bahan letupan itu milik tentera yang digunakan untuk mengadakan latihan ketenteraan.

    Katanya, bahan letupan berkenaan juga disahkan tidak berbahaya selain didapati sudah tidak aktif.

    Abdul Aziz berkata, polis sudah mengambil keterangan berhubung penemuan tiga bahan letupan itu daripada kontraktor berkenaan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Jumpa Bom Belakang Stesen Minyak "