• Jumpa Bayi Dalam Almari Di Sibu

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+

    Bayi lelaki ditemui masih hidup di dalam almari di stor sebuah rumah di Kampung Bahagia Jaya, Teku di Sibu, hari ini.

    Bayi yang baru dilahirkan itu ditemui penghuni rumah berkenaan kira-kira 4.30 petang selepas terdengar tangisan.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintendan Martin Khoo berkata, bayi malang itu ditemui berbalut dengan sehelai kain.

    Menurutnya, polis menerima maklumat mengenai penemuan itu daripada wanita berusia 48 tahun yang juga pemilik rumah berkenaan.

    "Pengadu memaklumkan anaknya mendengar tangisan bayi dari stor yang terletak di bawah rumah mereka.

    "Pemeriksaan lanjut menemui bayi lelaki di dalam almari di stor berkenaan dengan berbalut kain," katanya.

    Martin berkata, pengadu kemudiannya bergegas memaklumkan penemuan itu kepada polis sebelum sepasukan pegawai dan anggota datang untuk siasatan lanjut.

    Katanya, siasatan di lokasi kejadian menjumpai tali pusat dan sehelai tuala berhampiran almari tempat bayi terbabit ditemui.

    "Bayi terbabit kemudiannya dibawa ke Hospital Sibu dan doktor mengesahkan dia baru dilahirkan tidak lama sebelum ditemui.

    "Kini siasatan tertumpu untuk mengesan ibu bayi berkenaan dan tiada saksi yang melihat wanita mencurigakan di kawasan berkenaan sebelum bayi ditemui," katanya.

    Menurutnya, bayi terbabit kini ditempatkan di Hospital Sibu untuk pemantauan lanjut dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah dimaklumkan mengenai penemuan bayi itu.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi berkenaan.-myMetro
  • No Comment to " Jumpa Bayi Dalam Almari Di Sibu "