• Jual Beli Dadah Di Tepi Jalan

    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+

    Polis menahan dua lelaki dan merampas syabu bernilai kira-kira RM20,000 dalam serbuan di Jalan Tuaran, Inanam, dekat Kota Kinabalu, semalam.

    Dalam serbuan 12 tengah hari itu, polis menahan suspek berusia 23 tahun dipercayai pengedar dadah dan pembeli berusia 45 tahun.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, sebelum kejadian, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu terserempak dengan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

    Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian, kedua-dua suspek dikatakan menjalankan urusniaga dadah tanpa mengendahkan kehadiran orang ramai yang melalui jalan berkenaan.

    "Anggota polis kemudian menjalankan pemeriksaan sebelum menemui tujuh paket plastik lut sinar berisi syabu pada seorang suspek," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu, hari ini.

    Chandra berkata, tujuh paket plastik lut sinar berisi syabu itu seberat 215.52 gram dan dianggarkan bernilai RM20,000.

    Menurutnya, kedua-dua suspek juga positif dadah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Jual Beli Dadah Di Tepi Jalan "