• Jual Bayi Kembar RM15 Ribu Di Mudah.my

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    CUKUP tenat… itulah gambaran mengenai kes-kes membabitkan remaja hamil anak luar nikah seperti yang sering dilaporkan oleh media pada masa kini.

    Menurut statistik yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar tempatan, pada tahun lepas sahaja mencatatkan sebanyak 3,980 daripada 13,831 remaja berusia 10 ke 19 tahun mengandung anak luar nikah.

    Apa yang lebih menyedihkan adalah kebanyakkan daripada golongan remaja ini tidak mahu bertanggungjawab, malah ada yang tergamak untuk menjual bayi mereka kepada pasangan lain.

    Aktivisi sosial Syed Azmi mendedahkan, beliau baru-baru ini menerima aduan mengenai pengiklanan di laman jual beli atas talian, Mudah.my mengenai kes penjualan bayi kembar daripada seorang wanita berusia 20 tahun.

    Bayi kembar berkenaaan dijual oleh ibu muda terbabit pada harga RM15,000 dan ia turut disertakan sekali kapysen bertulis “kembar untuk dilepaskan”.

    Susulan daripada aduan tersebut, Syed Azmi menghubungi pihak Mudah.my yang seterusnya mengambil tindakan pantas untuk menurunkan iklan bertarikh 8 Disember tersebut daripada laman sesawang mereka.

    Tidak cukup dengan itu, pemuda itu kemudian berhubung dengan pegawai polis di Bukit Aman dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan perlidungan terhadap kedua bayi malang tersebut.

    “Saya juga menghubungi ibu kepada gadis yang melahirkan kembar tersebut, dia telah melihat iklan itu dan terkejut dengan tindakan anaknya.

    “Jadi saya cuma berharap ianya tidak terlambat dan kami merancang untuk bertemu,” tulisnya.

    Menurut Syed Azmi, teman lelaki yang juga ‘bapa’ kepada bayi kembar itu berusia 17 tahun dan tidak ingin bertanggungjawab di atas keterlanjurannya.

    “Mereka tak bernikah walaupun ada beberapa pihak yang memaksa pasangan kekasih itu berbuat demikian sebaik si lelaki berusia 18 tahun supaya lebih mudah untuk menjaga bayi kembar tersebut bersama-sama.

    “Pun begitu, syukurlah mereka tidak bernikah,” kata Syed Azmi kerana menurutnya, pasangan tersebut langsung tidak pandai menjaga bayi mereka dan hanya ingin hidup bebas tanpa sebarang ikatan.

    Pasangan itu juga ada meminta saudara lain menjaga kembar tersebut, namun semuanya tidak sanggup karana bayi kembar itu kerap menangis.

    “Akhirnya mereka ambil jalan mudah iaitu dengan cuba menjual bayi mereka dengan harga RM15,000 di Mudah.my, mudah sangat kan?

    “Budak lelaki itu cabut(melarikan diri), keluarga budak lelaki itu pula minta pihak keluarga wanita serahkan kepada keluarga lain dan mereka tak patut berkahwin,” katanya.

    Syed Azmi kemudian bertemu dengan gadis tersebut bersama ibu dan bayi kembar berkenaan di rumah mereka kira-kira jam 9.40 malam semalam.

    Turut bersamanya dalam pertemuan itu Pegawai Perlindungan Kanak-Kanak dan Pegawai Akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL).

    “Gadis berkenaan terkejut ketika kumpulan saya dan beberapa wakil JKM datang ke rumahnya.

    “Keluarga gadis ini datang daripada golongan berpendapatan rendah dan mempunyai hubungan kekeluargaan yang rapat antara satu sama lain.

    “Jadi kami cuba menjelaskan kepadanya kesalahan yang dilakukan dan bertanya apakah rancangannya selepas ini,” katanya.

    Ketika disoal, pada saat itulah wanita itu memberikan jawapan yang langsung tidak menunjukkan tanda menyesal dengan bersalah di atas perbuatannya.

    Wanita itu mengatakan; “Susahlah nak jaga, mak kata ada orang nak tapi takkan nak pakai bagi free-free jer, bagitahulah berapa dia nak kasi,” kata wanita itu dengan selamba.

    Syed azmi sekali lagi menjelaskan bahawa tindakannya salah. Malah dia juga bertanya bagaimana remaja itu memutuskan untuk meletakkan harga sebanyak itu kepada bayi-bayinya.

    “Main tekan-tekan kat handphone je,” jawab gadis itu.

    Jawapan yang diberikan itu membuatkan Syed Azmi menyoal kembali kepadanya dengan persoalan; “Jadi awak bagitahu saya, berapa harga awak!” membuatkan wanita itu terdiam mendengarnya.



    Meskipun telah dijelaskan berulang kali mengenai kesalahan menjual bayi-bayi tersebut, wanita itu dikatakan masih tidak mengerti, malah mengharapkan ‘imbuhan’ sekiranya anaknya itu diambil pihak JKM.

    Wanita itu kemudian diberikan tiga pilihan iaitu sama ada memberikan anaknya kepada keluarga angkat, serahkan kepada pihak JKM atau bayinya itu dihantar kepada pusat perlindungan bayi sementara OrphanCARE.

    Buat masa ini, bayi kembar itu telah diambil oleh pihak Syed Azmi bagi memberikan penjagaan yang lebih selamat dan ia juga sebagai langkah membendung daripada ‘diperdagangkan’.

    Sehingga berita ini disiarkan, tindakan susulan terhadap wanita terbabit masih belum diketahui dan majoriti netizen di media sosial melahirkan rasa kecewa mengenangkan nasib malang bayi dan mentaliti golongan remaja masa kini. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Jual Bayi Kembar RM15 Ribu Di Mudah.my "